Kampus & Pendidikan 25 Aug, 2024

Syabas! Dua pelajar USIM johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan negeri! Ke pentas kebangsaan!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada prousim@gmail.com

Share this

 


 “Mencabar diri sendiri untuk lihat sejauh mana saya mampu lakukan.” Itulah kata-kata Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi apabila diumumkan sebagai johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) peringkat negeri Terangganu tahun ini (2024). 

Faruqi menyifatkan bahawa penyertaan kali pertama ini sebagai lonjakan semangat dan minatnya terhadap puisi serta berhasrat untuk melangkah lebih jauh dalam bidang yang diceburi ini. 

Penyertaan beliau dalam SDPK peringkat negeri Terengganu buat pertama kalinya merupakan cabaran untuk dirinya dan telah mendapat sokongan kuat daripada jurulatih dan rakan-rakan serta keluarga.

SDPK peringkat negeri Terengganu menyaksikan 15 peserta yang mempertaruh sajak yang terkandung dalam buku antologi puisi Ke Sarang Cenderawasih bagi melayakkan diri ke Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 29 Ogos 2024. 

Naskhah puisi ini telah ditetapkan oleh penganjur utama SDPK iaitu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) Penganjuran kali ke-38 oleh GAPENA merupakan program anjuran tahunan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pelbagai agensi termasuk persatuan-persatuan penulis bagi setiap negeri bagi memberi peluang kepada anak muda dan penggiat seni sastera menyertai sayembara puisi ke pentas yang lebih berprestij di samping memperkasakan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia melalui deklamasi puisi. 

Tempat kedua SDPK negeri Terengganu telah dimenangi Wan Mohammad Adam Haris Wan Mohd Sham, manakala Saifuldhari Abu Bakar mendapat tempat ketiga. PELITA turut menyediakan hadiah sagu hati kepada tiga pemenang bagi dorongan penyertaan program yang dianjurkan.


Muhammad Zamraturrahman Yussri


Muhammad Zamraturrahman Yussri (kiri) dan Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi


Sementara itu, seorang lagi ahli Kelab Penerbitan Kreatif USIM muncul sebagai johan SDPK bagi peringkat Wilayah Persekutuan dan Putrajaya. Muhammad Zamraturrahman Yussri, 21 berkata, “saya tidak menyangka akan melangkah sekali lagi ke pentas kebangsaan, saingan peserta lain tidak kurang hebatnya dan apabila diumumkan johan, sekali lagi saya berazam agar dapat membuat yang terbaik di pentas kebangsaan”. Rahman akan mewakili Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Kebudayaan, Akmal Razali berkata, “Setakat ini, bermula tahun 2018, 2020, 2023 sudah tiga pelajar USIM yang bertanding di SDPK peringkat negeri dan berjaya ke peringkat kebangsaan. 

"Alhamdulillah tahun ini dua lagi peserta USIM akan beraksi dan persediaan memantapkan latihan peserta akan dibuat mengikut perancangan dan diharapkan pengalaman ini akan menambah baik kualiti pelajar USIM dalam persembahan puisi.”

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Prof. Madya Dr. Saleeh Rahamad menyifatkan bahawa penyertaan pada setyiap tahun semakin menggalakkan dan mendapat perhatian generasi muda sebagai pelapis yang akan mewarnai dunia puisi tanah air. 

Dalam pada itu perasmian SDPK Wilayah Persekutuan dan Putrajaya telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari. 

Beliau turut menyatakan rasa terharu dengan sambutan yang diberikan oleh pelbagai pelapis dalam mengangkat sastera sebagai medium menyatukan dan mengukuhkan hubungan antara kaum. 

“DBP sentiasa menyokong usaha pengembangan bahasa dan sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memperkasakan bahasa Melayu agar kekal lestari dan relevan di semua peringkat.”

Naib johan SDPK Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dimenangi oleh Nuruladibah Azhar manakala tempat ketiga menjadi milik Nor Hafuza Muhammad Arif.


 

11
11
0
13
0
You will be interested