Dewan Tuanku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak berubah menjadi hening apabila para hadirin tersentuh dengan ucapan Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang mengangkat pengorbanan seorang bapa.

Prof Dr Md Amin Md Taff (kanan) menyantuni seorang bapa graduan sempena Istiadat Konvokesyen UPSI di Dewan Tuanku Canselor. - Kredit foto: UPSI.
Berbeza dengan bicara tentang kejayaan institusi yang sering dijulang setiap kali Istiadat Konvokesyen, Dr Md Amin menjentik emosi tetamu mengenai kehebatan sang hero yang tidak didendang.
Riuh kegembiraan di dewan bertukar sayu dan hiba, tanpa sedar air mata ibu, bapa dan graduan menitis di pipi.
Dr Md Amin berkata, kejayaan 7,173 graduan UPSI pada tahun ini (2025) bukan sahaja hasil usaha mereka sendiri, malah turut bertunjangkan ketabahan, kecekalan dan kesetiaan seorang ayah yang tidak pernah meminta balasan.
Menurutnya, seorang bapa lazimnya memikul amanah berat dalam diam, justeru tidak hairan jika pengorbanan mereka sering terlepas pandang.
Tambah beliau, pengalaman bertemu seorang bapa yang hadir ke kampus semalam (Khamis, 13 November 2025) membuktikan bahawa tangan yang kasar dan keras bukan sekadar tanda kerja berat, tetapi juga simbol cinta dan tanggungjawab yang dipikul sepanjang hayat.

Suasana hening menyelubungi Dewan Tuanku Canselor ketika Prof Dr Md Amin menyampaikan ucapan sesi keempat Istiadat Konvokesyen Ke-27 UPSI. - Kredit foto: FB Naib Canselor UPSI.
“Cukup-cukuplah saya berbicara tentang kejayaan institusi. Izinkan pula saya berbicara tentang pengorbanan luhur seorang insani.
“Abah, adalah hero kita buat selamanya. Insan pertama yang mengalunkan azan pada telinga. Lelaki mulia yang sentiasa mementingkan keluarga. Walau lelah dan walau rebah, kalian sentiasa maruah utamanya.
“Tidak sedikit bapa sanggup mengetepikan impian sendiri, termasuk mengorbankan simpanan haji dan bekerja tanpa mengenal penat semata-mata mahu melihat anak-anak melangkah ke menara ilmu.
“Walaupun seorang ayah jarang meluahkan rasa, namun merekalah yang sering lebih dahulu menyelesaikan pelbagai urusan keluarga tanpa diminta, demi memastikan anak-anak tidak terbeban,” katanya berucap pada sesi keempat Istiadat Konvokesyen Ke-27 UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah pada Jumaat 14 November.

Pengorbanan bapa bagai wira tidak didendang demi kejayaan anak di menara gading. - Kredit foto FB Naib Canselor UPSI.
Prof Dr Md Amin turut berkongsi mengenai sikap unik seorang bapa yang kadang sukar diramal dan disulami misteri.
“Izinkan saya kongsikan satu rahsia si bapa yang nampak macam tak 'care' sahaja. Kita penat bercerita, dia buat endah. Terkadang terdetik, abah tak amek 'port'.
“Sebagai ayah memang tak banyak bicara, namun di hati sentiasa berkata-kata. Diam dan selamba itu mendengar tandanya. Tahu-tahu, semua masalah keluarga selesai semuanya.
“Terkadang kami, bapa menjadi bahan jenaka. Ada yang berkata, malangnya menjadi bapa. Di pejabat dibebani dan dimarahi ketuanya, pulang ke rumah pula dimarahi isterinya
“Namun ini semua lumrah seorang bapa. Duka yang hadir kami pendam dengan muka selamba. Walau hati koyak dan walau berendam nestapa, pulang ke rumah isteri dan anak mesti nampak kami gembira," katanya.

Seorang bapa mengesat mata tersentuh dengan ucapan naib canselor UPSI yang meruntun hati. - Kredit foto: FB Naib Canselor UPSI.
Di sebalik pengorbanan besar itu, Dr Md Amin menyeru para graduan agar terus menghargai dan tidak melupakan jasa bapa, walaupun ketika mereka sudah memiliki pendapatan sendiri dan kehidupan yang stabil.
“Ingatlah adik, kenanglah wahai anakku. Jasa abah, ayah dan baba harus kalian ingat selalu. Jangan pernah dilupa walau kalian gaji beribu. Pelantinglah (hulurlah duit) setiap bulan, bagi sama rata dengan si ibu.
“Bagi mereka yang telah kehilangan bapa, amalan mendoakan dan menghadiahkan al-Fatihah tidak seharusnya dilupakan kerana kasih seorang ayah kekal melangkaui masa dan jarak.
“UPSI bukan sahaja meraikan pencapaian akademik graduan, tetapi turut menghargai bapa sebagai wira tanpa mahkota yang menjadi tiang kekuatan keluarga dan masa depan anak-anak,” ujar beliau.

Prof Dr Md Amin (kanan, belakang) beramah mesra bersama seorang bapa graduan sempena Istiadat Konvokesyen UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjong Malim. - Kredit foto: UPSI.
Majlis turut berkongsi pencapaian UPSI pada peringkat antarabangsa termasuk kedudukan ke-601 universiti terbaik dunia oleh Times Higher Education dan pengiktirafan program akademik yang meraih penarafan tertinggi. - KitaReporters