Kampus & Pendidikan 18 Oct, 2025

Syabas SMK Pulau Nyior! Rangkul pingat emas, perak, gangsa! Pertandingan antarabangsa InDeLib 2025!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior (SMKPN) mencipta sejarah apabila berjaya merangkul tiga pingat - emas, perak dan gangsa - pada Pertandingan Innovation and Design in Library and Information Science (InDeLib) 2025 peringkat antarabangsa yang berlangsung di Dewan Tan Sri Othman, Universiti Utara Malaysia  (UUM).


Pasukan LibGO! dari SMKPN dinobatkan johan dan menerima pingat emas dalam pertandingan itu.


Kejayaan itu sekali gus membuktikan kemampuan pelajar sekolah berkenaan untuk bersaing pada peringkat global melalui daya inovasi dan kreativiti yang tinggi.

Pingat emas dimenangi melalui projek LibGO! hasil inovasi lima pelajar iaitu Syed Al Amin, Siti Aiesyah Mohammad Sukri, Mohd Danial Farhan Mohd Fauzi, Darwisya Ramli dan Ummi Kalsum Md Noor.


Pingat perak milik Pasukan Fine2SHINE dari SMKPN juga.


Sementara itu, projek Fine2SHINE yang dianggotai Nawal Uzma Mohd Roshimy, Mia Kharissa Jalila Jamaludin, Dahimah Khairul Anuar, Nur Imani Hafizah Turedy dan Sufia Azwa Hanani Saiful Azuan pula menyumbang pingat perak.

Bagi pingat gangsa, ia dimenangi melalui projek Into Rabbit Hole The Lost Chronicle of Khutub Khanah yang melibatkan Janice Ooi Che, Auni Dhaniyah Che Mohd Rizal, Wafa Azzahirah Mohd Nayan, Nur Alya Muhammad Radzi dan Nur Dania Humaira Mohd Shaari.


Pasukan Into Rabbit Hole dari SMKPN meraih pingat gangsa.

Pengetua SMKPN Faridah Siweng, menzahirkan rasa bangga atas kejayaan itu yang berjaya mengangkat nama sekolah ke persada antarabangsa.

“Kejayaan ini membuktikan pelajar luar bandar mampu menyerlah di pentas global sekiranya diberi peluang, bimbingan dan sokongan. Ia adalah hasil usaha gigih, kreativiti serta semangat kerja berpasukan yang tinggi,” katanya.


Peserta daripada pasukan LibGO memberi penerangan kepada juri.


Guru pembimbing, Muhammad Syamir Syazani Shafie, turut menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pelajar yang menunjukkan komitmen tinggi serta kepada pihak sekolah atas sokongan padu yang diberikan.

“Kejayaan ini adalah hasil kesungguhan dan dedikasi para pelajar. Terima kasih kepada pihak sekolah, rakan guru serta ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan moral dan motivasi,” ujarnya.


Juri sedang mendengar penerangan dari peserta pertandingan.


Ahli pasukan Fine2SHINE SMK Pulau Nyior menerangkan konsep inovasi mereka kepada juri.


Pertandingan InDeLib 2025 menghimpunkan peserta dari pelbagai institusi pendidikan seluruh dunia dengan memberi fokus kepada inovasi dan reka bentuk dalam bidang sains perpustakaan dan maklumat. - KitaReporters


Sebahagian pelajar SMKPN bersama guru pembimbing bergambar kenangan selepas meraih tiga pingat pada Pertandingan Innovation and Design in Library and Information Science (InDeLib) 2025 yang berlangsung di Dewan Tan Sri Othman, Universiti Utara Malaysia.
16
8
0
13
0
You will be interested