Reformasi pendidikan tidak boleh dilaksanakan bersendiri, tetapi memerlukan usaha bersepadu Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Reformasi itu perlu juga memperhalusi isu-isu mendesak seperti pelaksanaan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), AI (Kecerdasan Buatan), dan penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta Sejarah, termasuk kedudukan sekolah agama serta pondok.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara-perkara tersebut telah dibincangkan semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan Negara (MPN) pada Khamis, 2 Oktober 2025.
Katanya, mesyuarat berkenaan telah membincangkan hala tuju besar pendidikan negara, daripada Terma Rujukan MPN, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026-2035, Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035 hingga Semakan Semula Mata Pelajaran Umum (MPU).
"Saya tegaskan kepada KPM dan KPT bahawa reformasi pendidikan tidak boleh dilaksanakan bersendirian.
"Sebaliknya mesti merangkul seluruh kekuatan dan menghubungkan inovasi, sosial, kecerdasan buatan (AI), agama dan nilai kemasyarakatan, agar pendidikan benar-benar memerdekakan jiwa, membina identiti dan membentuk pemikiran bangsa," jelas beliau.

Katanya, cabaran negara ialah menggapai langit dalam pendigitalan dan AI, sambil mengakar ke bumi dengan nilai, budaya dan agama yang membentuk kerangka pemikiran bangsa.
Inilah keseimbangan yang mesti kita pelihara, tegas beliau.
"Saya turut tekankan agar Jawatankuasa MPN memperhalusi isu-isu mendesak seperti pelaksanaan STEM, AI, penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah, termasuk kedudukan sekolah agama serta pondok.
"Selain itu, sinergi universiti dengan Akademi Sains Malaysia (ASM) perlu diperkukuh demi membina masa depan pendidikan yang berdaya saing dan berakar pada jati diri," tambah beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media