Kampus & Pendidikan 31 Oct, 2020

Festival Transformasi Digital UUM! 4,000 ikuti secara online

@samsudin oli mohamed (uum)
Ketua Pengarang Jabatan HEP UUM ini terlibat dalam dunia kewartawanan sejak 1986

Share this

LEBIH 4,000 peserta dari institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini menyertai FABS E-Festival 2020 (FEF 2020) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dianjurkan oleh Kelab Kewangan dan Perbankan (FABS) UUM pada 22 hingga 24 Oktober 2020 lalu secara maya (virtual). 



Lagi cerita-cerita berkaitan UUM:

https://kitareporters.com/search?search=uum


Pengarah program FEF 2020 Mohamad Khairul Azman Mohamed Desa berkata, program bertemakan ‘Tranformasi Digital’ ini telah diadakan selama tiga hari bagi mengembangkan pemikiran pelajar dalam usaha untuk mengenal pasti laluan kerjaya, sekali gus mendedahkan mereka dengan konsep penguasaan ilmu merentas bidang bersama panel jemputan antaranya Dr Raja Yasmin Raja Abdul (The EQBIZ Academy), John Chan Ninyii (YES Financial Sdn Bhd), Alfred Loke (Philips Capital) dan Mohd Royzilee Mustaffa dari Lets’s Rock Cancer Malaysia.

Mohamad Khairul menambah, program ini turut memberi tumpuan kepada aspek yang berbeza, termasuklah E-Stall, En Route to Betterment of Digital Entrepreneurship, Stock Trading Challenge, Fun Quiz, Embracing New Wave of Personal Finance, Navigating Your Career serta Live Chat and Pre-Recorded Cancer Awareness Video.



"Bagi pelajar UUM yang berminat dalam perniagaan, FABS telah menyediakan platform perniagaan dikenali sebagai E-Stall untuk mempromosikan perniagaan yang dijalankan oleh mereka termasuk menggunakan sistem tanpa tunai," kata pelajar semester tujuh program Sarjana Muda Kewangan ini.

Dalam pada itu bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda selaras dengan agenda kerajaan, peserta yang menyertai program ini berpeluang untuk berkongsi ilmu dengan Dr Raja Yasmin Raja Abdul.



Selain daripada ceramah dan bimbingan perniagaan, peserta juga berpeluang menyertai pertandingan Stock Trading Challenge dan Fun Quiz.

Stock Trading Challenge yang diadakan ini bertujuan untuk merangsang minat pelajar dalam bidang pelaburan dan membabitkan mereka untuk melibatkan diri dalam pelaburan tanpa risiko. Pada masa yang sama mereka dapat meningkatkan kemahiran dalam konteks pelaburan, khususnya kemahiran analisis dan teknikal.

Manakala melalui Fun Quiz pula tiga kategori utama, iaitu UUM, FABS dan pengetahuan umum dipertandingkan menerusi laman Instagram FABS dengan slogan “unlocking knowledge at the speed of thought”.




Memandangkan kebelakangan ini ramai anak muda diisytiharkan muflis oleh Bank Negara Malaysia (BNM), maka FABS mengambil peluang untuk membincangkan pengurusan kewangan kendiri menerusi webinar Embracing New Wave of Personal Finance yang membariskan ahli panel yang mempunyai latar belakang dalam bidang kewangan, antaranya John Chan Ninyii dan Alfred Loke dari YES Financial serta Phillips Capital.

Bagi menjayakan program ini, lima alumni UUM juga telah dijemput melalui Navigating Your Career untuk berkongsi perspektif mereka dalam kerjaya dan cabaran agar bakal siswazah akan lebih bersedia untuk menghadapi alam kerjaya di luar sana termasuk ketika COVID-19.



Selain daripada ceramah dan pertandingan, peserta juga berpeluang berinteraksi secara maya menerusi Live Chat and Pre-Recorded Video of Cancer Awareness dengan Mohd Royzilee Mustaffa selaku Pengasas Let’s Rock Cancer Malaysia yang memberi pencerahan kepada peserta tentang cara untuk mengenal pasti tanda-tanda penyakit kanser serta langkah-langkah untuk mencegah penyakit ini.

Untuk makluman, Let’s Rock Cancer Malaysia Live Concert yang akan dibarisi beberapa orang artis tempatan pada 7 November 2020 ini.

9
0
0
0
0
You will be interested