Kampus & Pendidikan 09 Nov, 2023

Lahirkan huffaz cilik! Program Tabika Pra-Tahfiz Kemas! Guna pakai modul Tadika Tahfiz Negeri Pahang!

@nur ain darwishah
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan.

Share this

Reaksi Al-Sultan Abdullah (tengah) ketika menyaksikan Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) dan Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kanan) bersalaman selepas majlis pemeteraian MoA antara KEMAS dan Yayasan Pahang yang ditandatangani Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi (kiri) dan Dr Ahmad Munawar Abdul Jalil (kanan) pada Majlis Menandatangani MoA antara KEMAS dan Yayasan Pahang bagi melaksanakan Program Tabika Pra-Tahfiz di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) KEMAS Kampung Sri Batu, Kuala Lumpur.


Yayasan Pahang (YP) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) telah memeterai memoradum perjanjian (MoA) bagi pelaksanaan program Tabika Pra-Tahfiz KEMAS di seluruh negara, secara tidak langsung bakal melahirkan anak-anak bijak al-Quran pada peringkat usia yang masih muda dalam tempoh beberapa tahun akan datang. 

Detik bersejarah itu pastinya menjadi lebih manis apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan mencemar duli menyaksikan majlis menandatangani MoA berkenaan yang berlangsung di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) KEMAS Kampung Sri Batu, Kuala Lumpur pada 7 November 2023.


Al-Sultan Abdullah (tengah) berkenan menyaksikan pemeterian MoA antara KEMAS dan Yayasan Pahang yang ditandatangani Datuk Ahmad Kamal Idris (kiri) dan Dr Ahmad Munawar (kanan) . 


Pada majlis pemeteraian MOA itu, KEMAS diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan YP diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Munawar Abdul Jalil. 

Perjanjian antara KEMAS dan YP itu bagi melaksanakan program Tabika Pra-Tahfiz KEMAS iaitu program di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperkasa pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak.

Ibu bapa sudah pastinya terharu dengan kebolehan dan kemahiran anak-anak kecil mereka berjaya mendalami ilmu al-Quran walaupun baru sahaja menjejakkan kaki di tabika.

Anak-anak seawal usia empat hingga enam tahun yang mengikuti program ini akan didedahkan dengan hafazan al-Quran bagi surah Juz Amma dan surah pilihan (juzuk 30) dengan bacaan (qiraat) adab dan tadabbur.


Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli melawat Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS Kampung Sri Batu, Kuala Lumpur

 Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka  disambut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.  

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang; Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Ramlan Datuk Harun.

Berucap pada majlis berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, idea pewujudan Pra-Tahfiz KEMAS telah dipersembahkan kepada Seri Paduka dan mendapat saranan supaya menggunakan modul yang diperkenalkan oleh YP. 

"Tuanku sendiri yang telah menitahkan patik dan menyarankan agar menggunakan modul YP ini untuk digunakan oleh KEMAS.

"Maka patik dan rakyat sekalian berdoa agar saranan dan titah tuanku itu akan memberikan sebagai pahala amal jariah untuk tuanku secara peribadi dan untuk rakyat Pahang keseluruhannya, Insya-Allah," katanya.

Modul oleh YP telah diperkenal dan diguna pakai di semua 21 cawangan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) seluruh Pahang sejak tahun 2018. 

Modul  ini akan diguna pakai di 100 buah Tabika Pra-Tahfiz KEMAS sebagai Tabika Rintis bagi tahun 2023 sejajar dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 sekali gus menyasarkan lebih ramai huffaz di Malaysia. 

Tabika Pra-Tahfiz KEMAS juga akan mengetengahkan Konsep 7M iaitu Mengaji, Menghafaz, Membaca, Menulis, Mengira, Menaakul dan Manusiawi.


Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli melawat Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS Kampung Sri Batu, Kuala Lumpur


Modul Pra-Tahfiz KEMAS ini menyasarkan sekurang-kurangnya 1,500 kanak-kanak mampu membaca dan menghafaz sehingga Surah Ad-dhuha.

KEMAS seterusnya menyasarkan 100,000 huffaz cilik bakal dilahirkan menjelang 2026 menerusi pelaksanaan program berkenaan.

Menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober 2023, Kerajaan telah memperuntuk RM20 juta bagi pelaksanaan program Pra-Tahfiz KEMAS dalam komponen Perkembangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Kerajaan Pahang menerusi YP telah menyediakan akses lengkap pendidikan tahfiz untuk anak-anak Pahang bermula dengan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP), Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang (SRTNP), Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP): Program Tahfiz Profesional, dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP): Program Tahfiz Turath (sekolah menengah) dan peringkat Diploma Darul Quran Maahad Tahfiz Negeri Pahang. - KitaReporters

16
9
0
8
0
You will be interested