Kampus & Pendidikan 18 Nov, 2024

Cinta berputik di universiti! Pasangan suami isteri berjaya tamatkan pengajian! Kini bergelar doktor!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Dr Muhammad Adli Syahmi Asyraf Alisha bersama isterinya, Dr Siti Nursabrina Sheikh Ahmad.


Sepasang suami isteri yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan, Dr Muhammad Adli Syahmi Asyraf Alisha, 25, bersama isterinya, Dr Siti Nursabrina Sheikh Ahmad berjaya menamatkan pengajian dan mengenggam segulung ijazah pada Konvokesyen ke-100 Universiti Teknologi MARA (UiTM). 

Perkenalan sejak dari zaman bangku pengajian, kini Dr Muhammad Adli dan Dr Siti Nursabrina sah bergelar suami isteri. 

Pasangan ini kini berkhidmat sebagai pegawai perubatan siswazah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. 

Penerima Anugerah Naib Canselor (ANC), Dr Muhammad Adli berkongsi tips di sebalik kejayaan yang dikecapinya. 

“Bagi saya tiada jalan mudah untuk kita mencapai satu kejayaan. Tetapi satu tips yang saya boleh kongsi adalah, perlu selalu mendekati pensyarah-pensyarah kita kerana mereka orang yang sangat berpengalaman. 

"Mereka dapat memberikan nasihat yang berguna dan kita patut guna nasihat ini terapkan dalam pelajaran kita,” kongsinya. 

Selain itu, Dr Muhammad Adli turut menyentuh tentang keseimbangan antara kehidupan peribadi dan pembelajaran. 

“Nasihat saya secara peribadi kita kenalah pandai bahagikan pelajaran dan personal life (kehidupan peribadi) kita. Dan waktu bergelar seorang student kita kena utamakan pelajaran kita. 

"Bercinta boleh tapi janganlah kita abaikan pelajaran dan hanyut sampai tersasar daripada jalan yang sepatutnya,” tambahnya.



Sementara itu, isterinya pula berkata pengorbanan perlu dilakukan demi mencapai sebuah keinginan. Dr Siti Nursabrina berpegang pada prinsip iaitu ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.

“Saya bangun setiap pagi, berdoa dan juga memohon restu kepada Allah dan ibu bapa, dan juga berusaha bersungguh-sungguh dalam kelas dan di hospital,” ujarnya. 

Sepanjang tempoh pengajian, sudah tentunya terdapat cabaran kehidupan yang akan dihadapi setiap pelajar. Dr Muhammad Adli berkongsi pengalamannya sewaktu semester tiga.

“Pada tahun 2021, saya merupakan antara pelajar terawal dijangkiti COVID-19. Ia merupakan cabaran psikologikal bagi saya kerana saya rasa takut. 

"Data mengenai penyakit COVID-19 masa itu tak banyak dan saya tidak tahu sama ada akan selamat atau tidak,” luahnya.

Menurutnya lagi, dikuarantin dan berkurung selama 11 bulan di kolej sepanjang tempoh PKP merupakan suatu tekanan mental baginya kerana tidak dapat bergaul dengan orang luar. 

Cabaran besar buat si isteri pula adalah apabila terdapat subjek yang gagal dalam peperiksaan akhir. Namun ia tidak mematahkan semangat dirinya untuk terus bangkit.

“Saya tiada pilihan melainkan untuk bangkit semula, belajar lebih kuat daripada biasa dan juga pastikan lulus peperiksaan itu. Alhamdulillah akhirnya saya berjaya,” jelasnya yang pada awal pernah berasa ingin putus asa, sedih dan kecewa disebabkan tidak lulus dalam peperiksaan. 



Perkongsian daripada dua graduan kelahiran Selangor ini membukitkan bahawa cabaran bukanlah untuk melemahkan diri, malah untuk menguatkan serta meningkatkan lagi motivasi diri hingga mampu berjaya mencapai kejayaan ini.

Menurut Dr Siti Nursabrina, pasangannya merupakan seorang yang bersungguh-sungguh dalam kehidupan sehinggakan dirinya juga terikut dengan personaliti baik suaminya itu.

“Hidup ini adalah suatu pilihan. Saya memilih suami saya sebagai pendorong, dia seorang yang banyak membantu saya dalam kehidupan.” 

Kenangan indah diukir bersama oleh pasangan ini dengan berkongsi pentas yang sama pada sidang ketiga Konvokesyen ke-100 Universiti Teknologi MARA (UiTM). - KitaReporters/Kenyataan Media

13
13
0
12
0
You will be interested