Kampus & Pendidikan 28 Aug, 2024

Mesin ATM RHB jadi titik datum! Tapak Latihan Arkeologi Bawah Air di Diving School UMT, Pulau Bidong!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: [email protected]

Share this


Program Bidong Summit 2024 anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kini telah memasuki edisi ketiga penganjurannya. 

Setiap tahun, program ini mengetengahkan konsep unik yang berasaskan Matlamat Pembangunan Lestari PBB (UN SDGs) dan Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based Intermediation). 

Pada tahun ini (2024), Bidong Summit 2024 memberi fokus kepada pemerkasaan warisan kebudayaan bawah air negara di samping menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 melalui aktiviti Bidong Merdeka Dive.

UMT telah menjadi peneraju dalam bidang arkeologi bawah air di Malaysia, bermula dengan projek ekskavasi dan penyelamatan artifak dari Kapal Karam Bidong (Bidong Shipwreck) yang dimulakan pada tahun 2017. 

Kejayaan aktiviti penggalian pertama itu membawa kepada usaha penggalian seterusnya pada tahun 2022 dan 2023. 

Penemuan berharga seperti seramik Thai, porselin biru putih dari Dinasti Ming dan artifak lain menunjukkan betapa pentingnya Kapal Karam Bidong perlu dipulihara dalam konteks sejarah maritim negara.

Menyedari potensi besar dalam pemeliharaan warisan kebudayaan bawah air, UMT bersama Jabatan Warisan Negara (JWN) berusaha untuk menubuhkan Pusat Latihan Arkeologi Bawah Air Nasional (PLAN) pertama di Malaysia. 

Pusat ini berupaya dijadikan tapak simulasi latihan yang memberi pendedahan awal kepada penyelam tentang teknik ekskavasi dan penyelamatan artifak bawah air.


Plak simbolik jalinan kerjasama kukuh antara UMT dan RHB Islamic dalam usaha pemuliharaan arkeologi bawah air di Pulau Bidong.


RHB Islamic Bank sebagai rakan kolaborasi UMT turut mengambil langkah strategik dengan menyokong usaha ini selari dengan komitmen mereka terhadap UN SDG11.4 yang menekankan pemuliharaan warisan budaya dan semula jadi dunia. 

Malah usaha mereka diperluas melalui inisiatif Ocean Harmoni di bawah UN SDG14: Life Below Water. 

Sebagai simbolik kepada sokongan ini, RHB Islamic Bank telah menyumbangkan dua mesin ATM untuk dijadikan Titik Datum di tapak simulasi arkeologi bawah air.

Titik datum ini sangat penting dalam aktiviti berkaitan arkeologi kerana ia bertindak sebagai titik rujukan tetap untuk pemetaan dan rekod penemuan di tapak arkeologi. 

Dengan adanya titik datum, ahli arkeologi dapat mencipta sistem grid yang membahagikan tapak kepada unit lebih kecil, memudahkan penggalian dan rakaman secara sistematik.

Program Bidong Summit 3.0 kali ini juga mencatat sejarah dengan penciptaan Malaysia Book of Record untuk Titik Datum ATM pertama di Malaysia yang terletak di Tapak Latihan Arkeologi Bawah Air di Diving School UMT, Pulau Bidong. 

Sumbangan dan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh RHB Islamic Bank memperlihat keprihatinan sektor korporat dalam menyokong UMT sebagai sebuah universiti yang berfokus marin dalam memainkan peranan utama memulihara warisan budaya negara.

Kerjasama berterusan antara UMT dan RHB Islamic Bank yang bermula pada 2019 akan terus diperkukuh dengan pemeteraian MoU kedua bagi tempoh 2024-2029. 

Program Bidong Summit 3.0 bukan sahaja memperkasa warisan kebudayaan bawah air negara, tetapi juga menyemai semangat patriotisme yang mendalam dalam kalangan peserta yang bertindak sebagai duta alam sekitar. - KitaReporters/Kenyataan Media


Mesin ATM sumbangan RHB Islamic untuk dijadikan Titik Datum oleh penyelam arkeologi diketuai penyelidik UMT.

13
16
0
13
0
You will be interested