Dr Annuar Rapaee menandatangani buku pelawat sebaik tiba di UPSI sambil disaksikan oleh Prof Suriani Abu Bakar.
UNIVERSITI Pendidikan Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak menyambut baik hasrat kerajaan negeri Sarawak untuk bekerjasama dalam meningkatkan kecemerlangan bidang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sarawak.
Sempena kunjungan hormat Timbalan Menteri 1 bagi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee ke UPSI ternyata membuka lebaran baharu untuk UPSI menyediakan platform dan usaha sama akademik bertujuan meningkatkan profesionalisme dalam kalangan guru di Sarawak Bumi Kenyalang.
Beliau disambut oleh ahli pengurusan tertinggi UPSI dan sesi perbincangan dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr Suriani Abu Bakar pada 18 Oktober 2024.
Dr Suriani berkata, UPSI amat mengalu-alukan kunjungan itu dan bersediakan menawarkan program dan kursus yang bersesuaian dengan keperluan dan hasrat MEITD, terutama dalam bidang STEM.
Prof Suriani (kanan) menyampaikan ucapan alu-aluan.
Sementara itu, Dr Annuar menjelaskan, MEITD berhasrat untuk menyediakan peluang dan biasiswa bagi membuka peluang kepada guru di Sarawak melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam pelbagai bidang.
UPSI, tambahnya, menjadi pilihan untuk program kerjasama
strategik berkenaan berikutan universiti pendidikan tersohor itu menawarkan 95
program pada peringkat pascasiswazah.
“Hampir 40 peratus guru Sarawak yang mengajar subjek
Matematik dan Sains adalah bukan opsyen.
“Kami berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada guru tempatan untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan kerana ia bukan sahaja akan membawa manfaat kepada guru, sekali gus meningkatkan kecemerlangan pendidikan terutama bagi seluruh rakyat Sarawak,” katanya.
Prof Suriani (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Dr Annuar di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh mengenai usaha
untuk menambah pengetahuan dan kemahiran terutama dalam mempelbagaikan
strategi pengajaran dan pembelajaran supaya selari dengan keperluan masa kini,
termasuk projek Yayasan Hasanah yang sedang diterajui UPSI.
Dr Annuar berkata, kunjungan itu melebarkan sayap UPSI dalam
usaha memperluas program pengajian siswazah, sekali gus mengukuhkan kedudukan
UPSI sebagai Universiti Pendidikan di Malaysia.
"Dengan adanya kerjasama strategik seperti ini,
diharapkan lebih ramai guru tempatan yang berminat untuk menyambung pengajian pada
peringkat sarjana seterusnya kedoktoran bagi melahirkan guru yang berkemahiran
tinggi, berintegriti serta berdaya saing dalam bidang pendidikan," ujarnya.
Hadir sama Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman serta beberapa dekan fakulti. - KitaReporters
Dr Annuar dan Prof Suriani merakam kenangan di hadapan Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.