Kampus & Pendidikan 08 Aug, 2024

Mari berwakaf, bersedekah! UPSI dapat kelulusan pengecualian cukai untuk penyumbang! Diperakui LHDN!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

  


UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, muncul sebagai Universiti Awam (UA) pertama yang memperoleh kelulusan permohonan di bawah subseksyen 44(11D)(b)ACP 1967 bagi dana endowmen.

Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI, Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif, berkata kelulusan itu dimaklumkan menerusi satu surat pemakluman yang dikeluarkan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertarikh 31 Mei 2024.

Menurutnya, menerusi pemakluman itu, Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) meluluskan permohonan di bawah subseksyen 44(11D)(b)ACP 1967 iaitu semua sumbangan dana endowmen berbentuk tunai kepada Tabung Dana Endowmen UPSI layak diberi pengecualian cukai dalam mengira jumlah pendapatan penderma/penyumbang.

"Selaras dengan kelulusan ini, Tabung Dana Endowmen UPSI layak mendapat pengecualian cukai pendapatan atas sumbangan tunai bagi tujuan endowmen yang diterima di bawah subperenggan 13(1)(c) Jadual 6, ACP 1967, " katanya.


Prof Mohd Abdul Nasir bersama surat yang diterima dari LHDN. 


Prof Mohd Abdul Nasir, berkata pengecualian cukai itu merupakan tambahan kepada pengecualian cukai yang sudah sedia ada dinikmati Universiti Awam iaitu pelepasan cukai di bawah subseksyen 44 (6) yang sebelumnya diberikan kepada UA, bagi subseksyen 44 (11D) Wakaf dan Endowmen yang perlu dipohon oleh pihak universiti kepada LHDN Malaysia.

Beliau menyambut baik dan bersyukur atas kelulusan yang diperoleh dan berharap akan menjadi pemangkin dalam usaha menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 melalui Purple Book: Enhancing University Income Generation Endowment & Waqf yang menggariskan penjanaan pendapatan dan pendanaan universiti melalui aktiviti komersial termasuk endowmen dan wakaf bagi menampung keperluan kewangan universiti. 

Jelasnya, dana endowmen adalah salah satu inisiatif UPSI sebagai Universiti Awam dalam mempelbagaikan sumber pendapatan berasaskan filantropi bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana awam.

Dana endowmen itu berpotensi untuk menjadi dana sokongan kepada universiti bagi menjayakan penawaran tajaan pengajian, pengajaran, penyelidikan, inovasi, kebajikan dan pembangunan fasiliti pendidikan.



Terdahulu, menurut beliau, UPSI juga muncul sebagai Universiti Awam pertama yang mendapat kelulusan daripada LHDN bagi pengecualian cukai pendapatan atas sumbangan tunai bagi tujuan wakaf yang diterima di bawah dibawah subseksyen 44(11D) Wakaf ACP 1967.

UPSI, tambahnya, mempunyai lebih 60 peratus pelajarnya daripada kategori B40 serta asnaf yang sedang mengikuti pengajian dan menerima sumbangan zakat menerusi WEZAS.

“Dengan kemudahan pengecualian cukai ini, kami mengalu-alukan orang perseorangan atau pihak korporat untuk menyumbang kepada WEZAS dengan menghubungi talian 012-208 2043 atau 05-450 6313,” ujarnya. - KitaReporters

23
6
0
18
0
You will be interested