Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa bahasa Melayu kekal menjadi teras nasional, khususnya dalam bidang pendidikan, di samping keperluan menguasai bahasa Inggeris, serta memberi ruang kepada bahasa-bahasa lain.

"Terkait soal pendidikan, saya jelaskan bahawa pendekatan Kerajaan bukan bersifat zero sum game.
"Bahasa Melayu perlu kekal sebagai teras nasional, di samping keperluan menguasai bahasa Inggeris, serta memberi ruang kepada bahasa lain termasuk pendidikan Cina dan UEC (Sijil Peperiksaan Bersama) atau bahasa Arab, tanpa mencetuskan kegelisahan atau salah faham," tegasnya.
Terdahulu Anwar ke Petaling Jaya untuk menghadiri Jamuan Teh Krismas bersama komuniti setempat selepas tiba dari Langkawi.
Semasa di Langkawi, Anwar menegaskan sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira perlembagaan negara seperti kedudukan bahasa kebangsaan.
Katanya, Perdana Menteri, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahan.

Menyentuh Jamuan Teh Krismas bersama komuniti setempat, beliau berkata, kehadirannya mencerminkan keharmonian sebenar Malaysia, jauh berbeza daripada naratif sempit yang digerakkan oleh kelompok perkauman dan pelampau agama.
"Dalam ucapan, saya tegaskan bahawa di sebalik segala perbezaan dan kerumitan, Malaysia kekal sebagai negara yang aman dan makmur.
"Keamanan ini hanya akan berkekalan jika disokong oleh dasar yang adil kepada setiap rakyat, tanpa memberi ruang kepada kebencian dan sikap pelampau untuk berakar," jelas beliau.
Justeru, Kerajaan memperuntuk RM200,000 kepada Persekutuan Kristian Malaysia bagi menyokong usaha memupuk kefahaman, keharmonian antara agama serta pengukuhan nilai moral dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
"Malaysia hanya akan melangkah jauh jika kita berpegang teguh pada keadilan, ihsan dan prinsip kemanusiaan, serta berani mengurus perbezaan secara adil dan bertanggungjawab.
"Inilah semangat Madani yang menjadi asas kekuatan negara," tambah Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media
