Lebih 46,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Johor bakal menerima tajaan makan tengah hari sepanjang 10 hari peperiksaan bertulis berlangsung, melibatkan peruntukan RM4.27 juta daripada Kerajaan Negeri Johor.

Beberapa calon SPM 2025 SMK Adela, Kota Tinggi, Johor menunjukkan Kit SPM Maju Johor yang mengandungi alat tulis untuk kegunaan ketika ujiaan bertulis SPM.-Kredit foto: Facebook Aznan Tamin.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, berkata inisiatif itu bukan sekadar bantuan makanan tetapi manifestasi keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting.
Menurut beliau, tajaan itu diharap dapat membantu calon mengekalkan tumpuan, sekali gus meningkatkan prestasi keseluruhan SPM tahun ini.
“Kita harap semua calon SPM dapat menjawab peperiksaan dengan baik dan memperoleh keputusan cemerlang supaya membuktikan pendidikan di negeri Johor ini terus ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kit SPM Maju Johor, Bantuan Makan Tengah Hari Percuma SPM dan Insentif Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Adela, Kota Tinggi pada 28 Oktober 2025.

SMK Munshi Ibrahim, Labis menerima sejumlah lebih RM 90 ribu bagi tiga bantuan kepada pelajar sekolah tersebut daripada kerajaan Johor.

Tiada yang terkecuali, semua calon SPM 2025 di negeri Johor mendapat manfaat bantuan makanan tengah hari percuma sepanjang ujian bertulis SPM selama 10 hari bermula 3 November 2025.
Aznan berkata kerajaan negeri menyasarkan peningkatan keputusan SPM tahun ini (2025), terutama dari segi Gred Purata Nasional (GPN) serta jumlah pelajar yang memperoleh semua gred A.
Pada tahun 2024, seramai 1,500 pelajar di Johor mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh semua A dalam peperiksaan SPM. Tahun ini (2025), Johor menyasarkan lebih 2,000 pelajar mendapat keputusan A dalam semua subjek.
Selain tajaan makan tengah hari, kerajaan negeri turut memperuntuk RM800,000 untuk penyediaan Kit SPM Maju Johor bagi membantu pelajar membuat persediaan rapi sebelum peperiksaan bermula.
Bagi pelajar Tingkatan Enam, sebanyak RM2 juta pula disalurkan sebagai insentif pendidikan yang memanfaatkan 8,317 pelajar di seluruh Johor.

Gambar Hiasan.... Pelajar cemerlang peperiksaan SPM menunjukan keputusan yang mereka perolehi. - Kredit foto: Sinar Bestari.
Katanya, inisiatif itu dirangka bagi memberi suntikan semangat serta sokongan moral kepada calon yang bakal berdepan peperiksaan utama dalam perjalanan pendidikan mereka.
"Melalui inisiatif itu, setiap pelajar Tingkatan Enam menerima RM200 bagi membantu mengurangkan beban kewangan serta menggalakkan mereka mengekalkan kecemerlangan akademik.
"Pelancaran semua bantuan pendidikan ini dilakukan secara serentak di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Johor," katanya. - KitaReporters


Aznan Tamin bergambar bersama pelajar dan guru SMK Adela, Kota Tinggi ketika pelancaran Bantuan Makan Tengah Hari Calon SPM 2025, Kit SPM Maju Johor dan Bantuan Pelajar Tingkatan Enam pada 28 Oktober 2025. - Kredit foto MDJ.