Kampus & Pendidikan 20 Nov, 2025

Keriangan, ingin tahu, harapan! SciTech4U - STEM Camp 2025 buka dunia sains kepada generasi muda!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

 

Di sebalik deretan peralatan kejuruteraan dan suasana sibuk bengkel Politeknik Ungku Omar (PUO), kedengaran gelak kecil dan suara kagum pelajar sekolah yang pertama kali memegang alat pengujian sebenar pada Program SciTech4U - STEM Camp MOSTI 2025 yang diadakan di Politeknik Ungku Omar (PUO) di Ipoh pada 18 Novermber 2025.


Sebahagian pelajar sekolah menengah sedang melihat peralatan di bahagian kejuruteraan di PUO.

Program ini bukan sekadar aktiviti cuti sekolah -- ia adalah pintu kecil yang membuka dunia besar bernama sains. STEM pula merujukan kepada subjek-subjek berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

Murid-murid SK Raja Chulan berusia 12 tahun dilihat membina kit STEM bersama rakan baharu merupakan pengalaman yang “tak pernah terfikir boleh buat sendiri.”

Dengan hati-hati, mereka menyusun komponen sambil dibimbing fasilitator daripada PUO.

“Seronok… saya rasa macam jurutera betul,” kata seorang murid sambil tersenyum bangga melihat kit yang berjaya dinyalakan.

Di sudut lain, sekumpulan pelajar tadika KEMAS Kampung Kurnia -- yang paling kecil antara peserta -- memandang teruja ketika pelajar PUO menunjukkan cara penggunaan alat mudah seperti snap circuits dan model robotik mini.

“Bila lampu tu menyala, mereka tepuk tangan macam dapat hadiah besar,” kata seorang fasilitator PUO, menggambarkan keterujaan tulus anak-anak kecil itu.


Sebahagian murid yang mengikuti Program SciTech4U - STEM Camp MOSTI 2025 sedang merekacipta secara berkumpulan.

Program anjuran PUO dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini mengumpulkan 80 pelajar dari 10 buah sekolah, 20 murid tadika serta fasilitator muda daripada SK Sahom, pelajar ijazah dan pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PUO.

Suasana bercampur-campur usia -- yang kecil, remaja dan dewasa -- mewujudkan satu komuniti belajar yang hidup sepanjang hari.

Bagi pelajar PUO yang menjadi fasilitator, pengalaman itu turut membina keyakinan diri.

“Ini kali pertama saya membimbing adik-adik. Rasa bertanggungjawab… dalam masa sama rasa bangga bila mereka berjaya,” kata seorang pelajar Ijazah Teknologi Kejuruteraan Mekanikal yang ditemui semasa sesi simulasi industri.

Aktiviti demi aktiviti -- pembinaan kit STEM, lawatan bengkel, simulasi industri, hingga pembentangan kumpulan -- bukan sekadar latihan teknikal, tetapi peluang memupuk keberanian mencuba. 

Ramai peserta yang pada awalnya takut menyentuh alat kini lebih yakin dan berani bertanya.



Ketua Penolong Setiausaha, Unit Pembudayaan 2 (Outreach), Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, MOSTI, Uwarani a/p Krishnan dalam majlis penutupan berkata, melihat semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak, khususnya para peserta, beliau yakin program ini telah berjaya mencapai objektifnya untuk memupuk minat dan kesedaran dalam bidang Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

Beliau berkata, MOSTI amat komited dalam memastikan agenda STIE diterapkan pada peringkat akar umbi, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Katanya, program seperti STEM Camp ini bukan sekadar aktiviti satu hari, tetapi merupakan bibit-bibit awal untuk melahirkan lebih ramai saintis, jurutera, dan innovator negara pada masa akan datang.

“Melalui program ini, kita dapat melihat sendiri bagaimana para peserta melaksanakan aktiviti secara ’hands-on’ dan menyelesaikan masalah sambil melengkapkan tugas.

“Mereka juga didedahkan dengan teknologi seperti simulasi kimpalan dan additive manufacturing yang tiada diperingkat sekolah tetapi amat significant dengan keperluan industri sekarang.

“Ini adalah pengalaman yang amat berharga dan diharap dapat meneruskan minat mereka dalam bidang STEM,” katanya.

Beliau berharap para peserta terus mencintai sains dan teknologi. Jadilah generasi yang tidak hanya menggunakan teknologi, tetapi mencipta teknologi untuk masa depan Malaysia.


Pelajar dan murid bergambar bersama pada ProgramSciTech4U – STEM Camp MOSTI 2025 di PUO, Ipoh.

Sementara itu, Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata, sokongan dan komitmen MOSTI dalam memacu bidang Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) adalah pemangkin utama kepada kejayaan program seumpama ini.

Menurut beliau, program STEM Camp (kem STEM) pada hari ini bukan sekadar satu aktiviti luar bilik darjah. 

Ia adalah satu usaha membina minat, menyalakan api kreativiti, dan membentuk minda inovatif dalam kalangan 80 orang pelajar kita, daripada peringkat sekolah rendah sehingga menengah.

“Kita telah berjaya menanamkan satu biji benih, benih untuk melahirkan lebih ramai saintis, jurutera, dan pereka bentuk Malaysia pada masa hadapan,” katanya. - KitaReporters

13
11
0
12
0
You will be interested