Di pedalaman Sungai Berua dan Sungai Pergam, deruan sungai dan desiran dedaunan menjadi saksi kepada satu usaha berterusan yang menyentuh hati sekumpulan penyelidik dalam usaha memanusiakan pendidikan melalui alam semula jadi.

Inilah semangat di sebalik Projek Pendidikan “Jungle School” (Sekolah Hutan) berteraskan komuniti yang kini memasuki Fasa Kedua, hasil pendanaan RM100,000 daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) di bawah program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti @ UniMadani) 2025.
Diterajui Dr. Norhayati Ab Manaf, projek itu sekali lagi menyatukan kepakaran dan semangat kebersamaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama masyarakat Orang Asli dalam usaha memperkukuh akses, kualiti dan minat belajar anak-anak di dua sekolah luar bandar iaitu SK Sungai Berua, Hulu Terengganu dan SK Sungai Pergam, Kemaman yang masing-masing mempunyai 53 dan 47 orang pelajar.

Konsep Jungle School bukan sekadar membawa sekolah ke dalam hutan tetapi membawa semangat hutan ke dalam jiwa pendidikan.
Ia menggabungkan pendekatan pembelajaran berasaskan alam semula jadi dengan modul interaktif yang menekankan kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira serta memperkukuh penguasaan subjek Sains, Matematik dan Bahasa Melayu.
Lebih daripada itu, Jungle School Fasa 2 turut menekankan pembangunan sosioemosi pelajar termasuk keyakinan diri, empati dan daya ketahanan yang merupakan elemen penting untuk membentuk jati diri positif dan motivasi dalaman pelajar Orang Asli agar terus mencintai ilmu.


Ketua Projek yang juga pensyarah di Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari UMT, Dr. Norhayati berkata, pelaksanaan projek Jungle School memberi impak positif terhadap perkembangan pembelajaran kanak-kanak orang asli.
“Kejayaan Fasa 1 yang dijalankan dari 2021 hingga 2023 membuktikan bahawa apabila pendidikan dirangka dengan jiwa dan kefahaman budaya komuniti, hasilnya amat luar biasa.
"Pelajar bukan sahaja menunjukkan peningkatan akademik, malah lebih bersemangat untuk ke sekolah berbanding sebelumnya,” kata beliau.
Menurutnya, fasa pertama program itu dilaksanakan di SK Kampung Sungai Berua telah berjaya mencetus perubahan ketara.
“Kita dapati kadar kehadiran meningkat, minat terhadap pembelajaran bertambah dan keciciran pelajar menurun.
"Berdasarkan impak positif itu, Jungle School kini diperluas ke Sungai Pergam membuktikan model pendidikan ini bukan lagi eksperimen, tetapi satu pendekatan berkesan untuk komuniti kumpulan sasar,” tambahnya.

UMT sebagai universiti peneraju ilmu kelautan dan sumber akuatik negara sekali lagi membuktikan bahawa kepakaran yang ada bukan hanya di laut dan makmal, tetapi juga dalam memperkasa masyarakat melalui pendidikan.
Inilah terjemahan sebenar kepada slogan “Universiti untuk Masyarakat” yang dihayati bukan sekadar dengan kata-kata tetapi dengan tindakan dan hasil nyata di lapangan.
Lebih menarik, pelan masa depan projek Jungle School tidak berhenti di sini.
Dalam fasa seterusnya, pasukan penyelidik UMT merancang untuk mewujudkan Jungle School Tunnel yang mana merupakan sudut interaktif berbentuk terowong pembelajaran yang menampilkan bahan-bahan pengajaran berasaskan 3M dan sosioemosi.
Melalui ruang ini, pelajar dapat berinteraksi dengan bahan pembelajaran bertema alam semula jadi, meneroka dunia sains dan literasi dengan cara yang menyeronokkan serta membina keyakinan dan kreativiti secara semula jadi.
Kejayaan program ini turut disokong oleh rangkaian kerjasama strategik iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan agensi-agensi lain.

Bagi UMT, setiap usaha seperti Jungle School adalah cerminan tanggungjawab sosial universiti kepada rakyat. Ia membuktikan bahawa pendidikan tidak harus dibatasi oleh sempadan bandar atau pedalaman dan setiap anak bangsa berhak mendapat peluang yang sama untuk berjaya. - KitaReporters/Kenyataan Media