
Majlis turut dihadiri Speaker Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin; Setiausaha Kerajaan, Datuk Seri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengarah JAIP, Datuk Ahmad Khirrizal Ab. Rahman.

Antara resolusi utama yang dirumuskan ialah sasaran memastikan 100 peratus SMAN berada dalam kelompok 30 terbaik keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Negeri Pahang menjelang tahun 2031.
Selain itu, resolusi turut menetapkan sasaran 100 peratus pelajar SMAN melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, termasuk sekurang-kurangnya 10 peratus ke universiti terkemuka luar negara atau institusi Islam terbaik dunia.
Resolusi ketiga memberi penekanan kepada penguasaan Bahasa Arab dengan sasaran 95 peratus tahap penguasaan menerusi International Benchmarking Test (IBT), selain memastikan semua pelajar mencapai sekurang-kurangnya Band 3.Kerajaan negeri juga menetapkan pelaksanaan kurikulum teras seragam dan berfokus mengikut kluster atau aliran seperti STEM, profesional, TVET, turath dan tahfiz di semua SMAN bagi memastikan pembangunan pelajar lebih tersusun dan berdaya saing.
Dalam aspek pendidikan turath, Program Turath@SMAN akan diakreditasi oleh Pusat Khazanah Ilmu Turath (U-KIT), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi memastikan kualiti pengajaran dan pengiktirafan akademik yang lebih tinggi.
Resolusi seterusnya menyasarkan 80 peratus pelajar menamatkan hafazan minimum 10 juzuk al-Quran ketika tamat Tingkatan 5 serta memperoleh Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pembentukan pelajar seimbang turut menjadi fokus apabila resolusi menetapkan pencapaian cemerlang elemen JERSI merangkumi jasmani, emosi, rohani, sahsiah dan intelek bagi melahirkan generasi Rabbani.
Wan Rosdy berkata, kesemua resolusi tersebut perlu diterjemahkan kepada pelan tindakan pada peringkat sekolah selari dengan Aspirasi Pahang First dan matlamat pembangunan pendidikan Islam negeri.
“Kita tidak mahu hanya bercakap soal peningkatan prestasi, tetapi pelaksanaannya mesti disokong dengan latihan, kursus, pemerkasaan guru serta peruntukan yang mencukupi,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntuk hampir RM75 juta setahun bagi perbelanjaan mengurus semua SMAN, selain RM1.4 juta khusus bagi bayaran makan asrama sekolah di bawah seliaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Bagi tahun 2026 pula, kerajaan negeri meluluskan peruntukan keseluruhan RM116.58 juta bagi pengoperasian semua sekolah agama di seluruh Pahang, selain RM17.4 juta untuk pembinaan baharu dan penyelenggaraan.
Kerajaan negeri turut mengambil langkah meningkatkan kebajikan pendidik apabila menaikkan elaun tambahan Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) asrama serta Guru KAFA sebanyak RM100 seorang.Selain itu, yuran persekolahan dan asrama sekolah agama turut dikurangkan bagi meringankan beban ibu bapa selari usaha memastikan akses pendidikan agama yang inklusif dan mampan.

Wan Rosdy menegaskan kejayaan anjakan paradigma pendidikan SMAN akan diukur melalui perubahan sebenar dalam kualiti pengajaran, peningkatan prestasi murid serta kecemerlangan sekolah secara berterusan.
“Saya yakin dengan komitmen semua pihak, anjakan ini bukan sekadar impian, tetapi mampu direalisasikan demi memastikan pendidikan Islam di Pahang terus unggul, relevan dan berdaya saing,” katanya. - KitaReporters