Kampus & Pendidikan 29 May, 2024

Pertanian Untuk Rakyat! UPM perkasa program Putra bersama komuniti Orang Asli! Kerjasama LKM, JAKOA!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN) dan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) dengan kerjasama Lembaga Koko Malaysia (LKM), Saudagar Nanas Agrofarm, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak, Majlis Belia Daerah Sungai Siput, EcoGreen Global Sdn. Bhd., Pusat Pertanian Putra dan Fakulti Pertanian, UPM telah melibatkan seramai 200 orang komuniti Orang Asli dalam program Putra Earth Care Initiative (PECI) yang telah berlangsung pada 17 hingga 19 Mei 2024 bertempat di Kg Beswok, Pos Yum, Sungai Siput, Perak.

PECI dirancang selaras dengan konsep Students for Society (S4S) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Majlis Kesukarelawanan Universiti Malaysia (MASKUM) yang mengutamakan bidang tujahan (niche areas) universiti awam selari dengan agenda pemerkasaan mahasiswa yang memfokus kepada pembangunan insaniah dan komuniti setempat berjaya dicapai melalui pemantapan sukarelawan mahasiswa.


Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (berbaju merah dan bertopi biru) bersama menanam pokok dengan kelestarian hijau.


Sementara itu, pengarah program, Tengku Afiqah Tengku Azman menyatakan bahawa program ini bertujuan memperkasakan kelestarian alam sekitar, keterjaminan makanan dan kelestarian pertanian kepada komuniti melalui dua fasa. 

Fasa pertama iaitu program perkongsian berbentuk simposium yang melibatkan panel pakar daripada industri dan universiti manakala fasa kedua iaitu program pemindahan maklumat berkaitan kelestarian pertanian kepada komuniti Orang Asli dengan kerjasama LKM.

“Program ini juga merupakan salah satu inisiatif bagi menyokong hasrat yang dibawa oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah yang memperkasakan pertanian melalui komuniti. 

"UPM juga baru sahaja melancarkan jenama Putra yang diertikan sebagai “Pertanian Untuk Rakyat” di Istana Bukit Kayangan pada 16 Mei 2024 yang lalu”, ujarnya.

Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah Gerak Gempur bersama LKM di mana para pelajar dan komuniti Orang Asli telah diberi pendedahan mengenai penjagaan dan pengendalian serta kawalan serangga perosak bagi tanaman koko. 

150 biji benih nanas juga telah disumbangkan oleh Saudagar Nanas Agrofarm, Mohd Noorhardy Mohd Noorzain yang merupakan Alumni UPM tahun 2002 untuk ditanam oleh komuniti Orang Asli di kawasan mereka. 

Aktviti pembuatan sabun tanpa kimia juga telah dijalankan bersama komuniti Orang Asli. Ilmu pembuatan sabun ini telah dikongsikan oleh syarikat EcoGreen Global Sdn. Bhd. ketika fasa satu yang berlangsung pada 4 Mei 2024 bertempat di Bangunan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Putra Malaysia.


Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar bersama pelajar dan komuniti Orang Asli.   


Wakil LKM, Mohd Mustafa Munim Motolani juga menyifatkan bahawa program yang dijalankan ini banyak memberi impak yang baik kepada komuniti Orang Asli dan pelajar itu sendiri terutama berkenaan dengan kelestarian pertanian dan juga alam sekitar.

“Program ini secara tidak langsung dapat memberikan pendedahan praktikal kepada komuniti Orang Asli dan para pelajar mengenai kelestarian pertanian terutama melibatkan tanaman komoditi seperti tanaman koko”, ujarnya.

PKPP UPM akan terus merancakkan lagi program pertanian untuk rakyat melalui program-program anjuran pelajar demi melestarikan semangat "Berilmu Berbakti". - KitaReporters

17
6
0
9
0
You will be interested