Kampus & Pendidikan 19 Jan, 2023

Majukan Alternative Dispute Resolution! Kerjasama USIM-JKSM bangunkan Sijil Profesional Sulh-Mediasi!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada prousim@gmail.com

Share this


DALAM usaha untuk melahirkan lebih ramai pengantara bertauliah yang akan menjadikan penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) sebagai wadah utama dalam menangani konflik dalam kalangan masyarakat di Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bergerak proaktif membangunkan modul latihan kemahiran iaitu Pensijilan Profesional Sulh-Mediasi.

Persijilan tersebut telah dilancarkan oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersempena Persidangan Pegawai Syariah seluruh Malaysia kali ke-18 baru-baru ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan amalan and pengantara mediasi


Modul latihan yang diketuai Dr Hendun Abd Rahman Shah, Pensyarah Kanan merangkap Ketua Unit Rundingcara dan Mediasi FSU berkata, kursus ini disertai pelajar tahun akhir iaitu seramai 99 orang dalam tiga sesi yang ditaja sebanyak RM3,000 seorang oleh geran KPT-PACE. 

Kursus yang berlangsung selama 5 hari dengan 40 jam pengisian modul ini akan melayakkan peserta mendapat sijil profesional kemahiran Sulh-Mediasi selepas lulus penilaian akhir.



Sementara itu, Dr. Mohd Daud Bakar dalam ucapannya berkata, Alternative Dispute Resolution (ADR) bukanlah suatu kaedah baharu. Walaupun amalannya diaplikasikan secara rasmi di Mahkamah Syariah semenjak 20 tahun lalu, namun mekanisme sulh ini telah disemi menerusi pengiktirafan yang termaktub dalam al-Quran dan al-Hadith.

“Begitu juga pendekatan yang luas perlu diperuntuk agar ADR boleh menjadi penapis utama sebelum kes dibawa ke Mahkamah, bukan hanya bagi kes-kes tertentu dan terhad semata. 

"Saya menyokong segala inisiatif bagi memantapkan sistem keadilan menerusi penggembelengan ADR ini. Usaha penambahbaikan perlu dilakukan segera seperti mewujudkan bahagian khusus ADR di JKSM, mahupun di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri/Mahkamah Syariah Negeri.

“Begitu juga, usaha penyeragaman undang-undang, kaedah, peraturan dan amalan berkaitan ADR di seluruh mahkamah Syariah, di samping menambah nilai kemahiran pegawai-pegawai ADR melalui pelaksanaan kursus-kursus yang diakreditasi oleh badan-badan profesional tempatan dan antarabangsa yang diiktiraf,” tambah beliau lagi.

Dr Mohd Daud berkata, keadilan bukan hanya tercapai menerusi undang-undang substantif dan dari aspek prosedural sahaja, namun aspek keadilan ihsan perlu juga diberi perhatian serius. 

"Saya percaya menerusi ADR, keadilan ihsan ini dapat diterokai dan dicapai,” tambah beliau lagi sebelum mengakhiri ucapan perasmian Persidangan tersebut. - KitaReporters/USIM


15
13
0
17
0
You will be interested