

Kejohanan Piala FIRA Roboworld Malaysia 2025 (atau yang ke-18) yang telah diadakan di Politeknik Merlimau, Melaka telah berjaya menghimpunkan penyertaan dari dalam dan luar negara termasuk Korea, China, Sudan, India, Bangladesh dan Indonesia.
Penganjuran selama enam hari bertemakan 'Melangkah ke Arah Robotik Lestari dan Pengantarabangsaan TVET' itu terbukti berjaya melahirkan pelajar berkemahiran tinggi, kreatif dan inovatif.
Ia juga selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta peralihan ke arah Revolusi Industri 5.0 (IR 5.0).
Kejohanan ini menyasarkan penyertaan seramai 4,875 peserta yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi, politeknik dan kolej komuniti, pelajar sekolah serta peserta antarabangsa.


Dalam kejohanan mulai 21 Jun dan berakhir pada 26 Jun 2025 itu, pelbagai inovasi dan rekaan teknologi pintar dalam bidang robotik telah dipertanding dalam 9 kategori utama iaitu Simurosot Master, AiBot Master & HuroCup Kid Master.
Selain itu juga dipertanding ialah kategori MyBot Master & Air Drone Master, Robosot Master, Androsot Master, Business & Innovation serta Autonomous Car Challenge.
Kejohanan yang berakhir pada 26 Jun 2025 membuktikan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin berjaya menjuarai kategori Simurosot Master. manakala Politeknik Sultan Idris Shah berjaya mengungguli kategori AiBot Master & HuroCup Kid Master.
Sementara Politeknik Port Dickson pula berjaya menjuarai kategori MyBot Master & Air Drone Master. Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pula menjadi juara bagi kategori Robosot Master.
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berjaya menjadi juara bagi kategori Androsot Master dan Politeknik Sultan Ibrahim pula menjuarai kategori Business & Innovation. Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah pula menjuarai kategori Autonomous Car Challenge.

Pemenang bersama Ts. Mustapha Sakmud.


Kejohanan ini juga menjadi platform pemilihan pasukan yang akan mewakili Malaysia ke Sidang Kemuncak dan Piala FIRA Roboworld Dunia 2025 yang akan diadakan di Korea Selatan pada Ogos 2025 nanti.
Majlis penyampaian hadiah dan penutupan rasmi kejohanan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Ts Mustapha Sakmud. - KitaReporters

