Kampus & Pendidikan 28 Mar, 2022

Tahniah! Jadi raja sehari, kemudian jadi graduan! Turun pelamin dan naik pentas konvokesyen pula!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Ameerul Hakim Muzi @ Ahmad Fauzi menunggu giliran untuk menerima ijazah


MAJLIS Idul IImi Konvokesyen Ke-13 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu melakar sejarah apabila seorang mahasiswa menaiki pentas konvokesyen dengan memakai pakaian pengantin.

Kehadiran graduan Ameerul Hakim Muzi @ Ahmad Fauzi, 27, dari Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu, menarik perhatian bukan sahaja dalam kalangan mahasiswa malah turut disaksikan oleh para jemputan yang hadir menyaksikan konvokesyen tersebut.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pengantin

Ameerul Hakim


Ameerul Hakim yang kini bertugas sebagai juru X-ray menjadikan majlis konvokesyen tersebut sebagai kenangan paling istimewa apabila dia menjadi raja sehari pada 27 Mac 2022 dan kemudian melangkah ke pentas konvokesyen UniSZA dengan berpakaian sama.

Ameerul Hakim dan pasangannya, Nur Izzatul Nabilah Ghazali, 22, selamat menaiki pelamin sebagai suami isteri pada jam 10.30 pagi Ahad, 27 Mac 2022 sebelum terus ke UniSZA empat jam kemudian.

Ameerul Hakim, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan (Kepujian) berkata, mereka sepatutnya melangsungkan pernikahan pada Mei 2022, namun terpaksa mempercepatkan tarikh kerana kekangan jadual Nur Izzatul Nabilah yang kini bekerja secara kontrak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang.


Pasangan pengantin Ameerul Hakim dan Nur Izzatul berjalan masuk ke dewan konvokesyen UniSZA


"Saya mendapat tahu tarikh majlis konvokesyen sebulan yang lalu. Ketika itu saya fikir tidak dapat menghadirinya kerana semua persiapan perkahwinan termasuk bayaran tempahan dewan sudah dibuat," katanya. 

Bagaimanapun Ameerul Hakim bersyukur kerana pihak universiti memaklumkan dia boleh menghadiri konvokesyen pada sesi petang selepas selesai akad nikah. 

"Alhamdulillah syukur, walaupun penat tetapi saya tetap gembira kerana majlis berjalan lancar," katanya.


 Ameerul Hakim menerima ijazah


Berkongsi pertemuan bersama isterinya, Ameerul Hakim memberitahu tidak pernah berjumpa Nur Izzatul Nabilah ketika sama-sama menjadi mahasiswa  di kampus.

"Kami berkenalan ketika bekerja di klinik sama di daerah ini, Ogos 2021 dan bertunang empat bulan kemudian,” katanya.

Jelas beliau, isterinya yang berasal dari Kampung Padang Polis, Batu Rakit, Kuala Terengganu juga akan diraikan dalam majlis konvokesyen pada Selasa  29 Mac 2022 selepas berjaya menamatkan pengajian peringkat diploma dalam kursus yang sama. - KitaReporters


 Ameerul Hakim bersama isterinya Nur Izzatul  berpakaian pengantin bergambar kenangan di atas pentas kovokesyen UniSZA

15
19
1
12
0
You will be interested