Majlis Khatam @ Menara atau Majlis Khatam Al-Quran di Menara Taming Sari ini adalah yang pertama diadakan di Melaka dan mungkin juga dalam negara.


Syabas dan tahniah kepada penganjur Majlis Khatam al-Quran di Menara Taming Sari yang berputar 360 darjah dengan ketinggian 110 meter pada pagi 13 Disember 2025.
Pendedahan sebegini adalah satu usaha positif dan seharusnya dipuji kerana memberi ruang kepada 41 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Cheng, Melaka untuk merasai bagaimana suasana dan emosi ketika berada dengan ketinggian 110 meter.
Majlis Khatam @ Menara yang dianjurkan dengan kerjasama SK Cheng, Melaka dan Menara Taming Sari Bhd merupakan simbol kesyukuran, penghayatan dan kecintaan terhadap kalam Ilahi.



Program seumpama ini amat bersejarah kerana ia julung kali diadakan di atas Menara Taming Sari dan turut mendapat dokongan daripada Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.
Kesemua 41 pelajar Tahun 6 telah berjaya mengkhatam al-Quran yang dibahagikan kepada dua kumpulan.
Malah program terbabit juga diisi dengan bacaan Asmaul Husna serta doa.
Adalah diharapkan program sebegini dapat meningkatkan kecemerlangan diri khususnya dalam pendidikan Islam dan al-Quran serta diperbanyak sebagai salah satu daya tarikan pelancongan Islam ke Melaka. - KitaReporters

