UCAPAN Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang disampaikan penuh syahdu sempena majlis Istiadat Konvokesyen UPSI ke-26 mendapat perhatian penonton dalam media sosial dan yang berada di dalam Dewan Tuanku Canselor seperti tahun 2023.
Ucapan yang tersusun dengan kata-kata indah dan membawa makna mendalam itu membuatkan penonton media sosial atau yang berada di dalam Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah tidak mampu menahan sebak.
Prof Md Amin Md Taff menyampaikan ucapan penuh syahdu.
Ucapan sempena konvokesyen yang berlangsung dari 23 November hingga 30 November 2024, Prof Md Amin itu, ibarat sentiasa dinantikan ramai kerana membawa mesej yang mendalam dan mengesan jiwa dengan penuh pesanan dan nasihat.
Justeru, dalam media sosial Facebook ucapan beliau itu, video ucapan itu mendapat
tontonan lebih satu juta, manakala TikTok mencapai lebih 121,000.
Beliau berkata, ucapan yang disampaikannya itu juga adalah
satu usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai menyahut seruan Perdana
Menteri dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selain meneruskan legasi yang
ditinggalkan oleh Pendeta Za'ba.
Za'ba yang pernah menjadi penterjemah di Pejabat Karang Mengarang pada era Sultan Idris Training College (SITC) meninggalkan aura sepanjang zaman dalam kalangan pencinta bahasa Melayu atau bahasa Kebangsaan.
Ibu bapa yang turut hadir juga tidak dapat menahan sebak mendengar ucapan Prof Md Amin.
"Dalam ucapan, saya suka memastikan ia sarat dengan
pesanan yang realiti dalam kehidupan, graduan harus membuat persiapan diri
untuk mendepani realiti kehidupan di luar sana.
"Saya menulis teks dengan suara yang lahir daripada
hati sanubari, disulam nasihat kepada graduan mengenai jasa terhadap keluarga dan Ibu Kandung Suluh Budiman yang
tercinta," katanya.
Katanya, bagi memberi impak ketika berucap, teks ucapan
dipadankan dengan pilihan lagu yang bertepatan supaya membawa makna lebih
mendalam.
Antara lain kata-katanya, "Pergilah adik, pergilah
cinta, menimba ilmu di luar sana, auranya kehidupan terlalu amat jauh berbeza.
Jika terjatuh, tiada yang mengangkat kita. Kerana semuanya, dengan masing-masing punya cerita.
Seorang netizen, Bakri Hanafiah berkata, “Bila semua
karakter disatukan dalam ucapan… terasa menusuk sanubari… kerana dia Naib
Canselor, dia juga seorang bapa, dia juga seorang anak, dia juga seorang
pendidik... Tahniah kepada semua para graduasi!”.
Teks ucapan Prof Md Amin yang viral itu ditulis sendiri dengan bantuan daripada pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI. - KitaReporters
Graduan yang mendengar ucapan Prof Md Amin di Dewan Tuanku Canselor tidak mampu menahan air mata.