Peserta Asas Kewartawanan Peranti diajar menggunakan bino untuk memudahkan mereka melihat pelbagai spesies dalam hutan dari jarak jauh.
TERMA ‘burnout’ sering digunakan akhir-akhir ini untuk menggambarkan keadaan stres di tempat kerja.
Ia merupakan satu keadaan di mana berlakunya keletihan melampau membabitkan fizikal, emosi dan mental selain perasaan kurang yakin dengan keupayaan diri serta nilai pekerjaan seorang individu. disebabkan tekanan yang berpanjangan atau berulang-ulang.
Burnout bukanlah penyakit tetapi boleh mempengaruhi kesihatan atau menjadi punca untuk mendapatkan pelbagai jenis penyakit seperti kemurungan, darah tinggi, strok dan jantung. Jika dibiarkan berterusan, ia boleh menyebabkan penyakit mental sehingga memberi kesan kepada pekerjaan, keluarga dan masyarakat.
Beban kerja yang terlalu banyak, kurang rehat serta tidak melakukan sebarang aktiviti sosial dan rekreasi akan menyebabkan fizikal menjadi penat serta lesu. Hal ini akan menjadi lebih teruk apabila seseorang itu tidak mendapat tidur yang cukup disebabkan bebanan kerja yang terlalu banyak.
Peluang hiking di Taman Rimba Alam, Putrajaya satu pengalaman yang menyeronokkan.
Menyedari hakikat ini dan bagi memastikan perkara itu tidak berlaku sehingga menjejaskan kesihatan dan produktiviti tenaga kerja, Persatuan Sukan dan Kebudayaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (MESCA) mengadakan Bengkel Asas Kewartawanan Peranti, "Kesedaran Mengenai Kepentingan Biodiversiti Melalui Riadah" di Taman Rimba Alam, Putrajaya.
Ia dianjurkan MESCA dengan kerjasama Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST). Peserta terdiri pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) daripada pelbagai jabatan tetapi meminati bidang penulisan, riadah dan penerbitan video pendek.
Penolong Setiausahanya, Azrin Abdul Rani, berkata melalui bengkel itu yang menggabungkan ilmu dan riadah, peserta daripada kakitangan KPM dapat melupakan sebentar kesibukan tugas dan rutin harian yang memenatkan dengan turun ke lapangan untuk melakukan aktiviti riadah, belajar menulis berita dan menghasilkan video pendek.
Azrin Abdul Rani
Beliau berkata, bengkel itu membolehkan peserta menimba ilmu bagaimana wartawan menjalankan tugas, jika tidak dapat menjiwai seratus peratus pun, sekurang-kurangnya ia memberi manfaat kepada mereka apabila menghadiri sesuatu majlis di luar pejabat, peserta sudah tahu apa perlu ditulis dan jenis gambar yang sesuai untuk digunakan.
"Saya tidak menafikan rutin kerja kakitangan KPM memang banyak, ada yang terpaksa membawa pulang tugasan di pejabat untuk disiapkan di rumah terutama jika ia membabitkan tugas penting dan segera. Memang lah stres apatah lagi di rumah, mereka terpaksa melakukan tugas seorang ibu dan isteri.
"Jadi, MESCA merasakan inilah masanya mereka perlu "take a break" dan melakukan aktiviti yang dapat melupakan seketika beban di pejabat selain menghiburkan hati melalui program riadah bersama rakan-rakan, menyusuri denai di hutan sambil berbual-bual dan membuat persembahan di akhir bengkel," katanya.
Sambil hiking, peserta turut mengumpul pelbagai spesies flora dan fauna yang menjadi hidupan di Taman Rimba Alam, Putrajaya.
Katanya, kewartawanan peranti berkaitan dengan penggunaan telefon bimbit, dan itu yang mereka gunakan setiap hari.
Cuma, melalui bengkel ini kita mahu mereka menggunakan gajet itu dengan cara lebih bermanfaat, memberi ilmu kepada diri sendiri dan orang lain, bukan sekadar untuk suka-suka, tambahnya.
"Kami membuka penyertaan bengkel ini kepada semua kakitangan KPM yang berminat dalam bidang kewartawanan kerana ia menggabungkan teori dan fizikal, perlu "hiking" dalam hutan, menjalankan mini kajian saintifik, menulis, membuat video dan persembahan pada akhir bengkel.
Peluang mengikuti bengkel kewartawanan peranti membolehkan peserta melupakan seketika rutin kerja di pejabat untuk menikmati keseronokan bersama rakan-rakan.
"Memang agak memenatkan tapi mereka dapat melupakan sebentar mengenai rutin kerja sebaliknya melakukan aktiviti dalam bengkel ini dalam suasana yang santai, tiada tekanan malah boleh berbincang bersama tenaga pengajar dan kawan-kawan. Dan, bagi menghargai mereka, peserta yang membuat persembahan terbaik akan mendapat hadiah.
"Saya terharu dengan komitmen peserta kerana pada hari yang sepatutnya mereka berehat bersama keluarga, peserta sanggup datang untuk menimba ilmu untuk diri sendiri dan selepas ini kemahiran itu boleh dikongsi dengan orang lain termasuk keluarga,' kata Azrin lagi.
Indahnya pemandangan yang berlatar belakang alam semula jadi di Taman Rimba Alam, Putrajaya
Azrin mengakui berpuas hati melihat mereka hadir pada awal pagi, meredah Taman Rimba Alam sejauh beberapa kilometer sehingga pakaian kotor, selepas itu balik ke kelab untuk menyiapkan tugasan dan persembahan. Memang memenatkan tapi mereka masih tersenyum dan boleh bergurau senda.
"Saya berharap, selepas ini mereka boleh menggunakan kemahiran itu untuk menghasilkan penulisan, video dan foto yang lebih baik untuk jabatan dan KPM. Malah, kebolehan itu boleh membantu unit komunikasi dan korporat bagi hebahan maklumat berkaitan kementerian.
"Aktiviti akan datang, kelab akan memberi fokus kepada bengkel pembikinan video, bukanlah pada tahap tertinggi tapi berkongsi ilmu bagi membolehkan mereka faham tip-tip dan asas menghasilkan video yang baik selain editing dan fotografi," katanya.
Panel juri tekun melihat pelbagai aspek untuk memilih peserta terbaik Bengkel Asas Kewartawanan Perani di MESCA Putrajaya.
Sementara itu, Presiden NEST, Sulaiman Salikan berkata, bengkel itu berjaya meningkatkan kesedaran peserta dalam kalangan kakitangan KPM mengenai kepentingan kepelbagaian bio di persekitaran mereka khususnya Taman Rimba Alam, Putrajaya.
Beliau berkata, walaupun hanya diadakan untuk tempoh yang singkat, bengkel itu dapat mendidik mereka mengenai kepentingan alam sekitar, menghargai khazanah flora dan fauna untuk manfaat diri sendiri dan orang lain.
"Kami memberi beberapa tugasan kepada mereka seperti merakam gambar flora dan fauna menggunakan peranti mudah alih seperti telefon bimbit sepanjang melalui laluan denai di Taman Rimba Alam, Putrajaya. Dan, kami akan membimbing mereka berkongsi gambar yang dirakam dalam aplikasi i-Naturalist.
Sulaiman Salikan
"Peserta perlu membuat laporan dalam bentuk penulisan subjek yang dipilih sama ada flora atau fauna dalam bentuk format video dan imej pegun. Pada akhir bengkel, mereka akan membuat persembahan untuk diadili juri terdiri daripada ahli NEST dan MESCA.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada MESCA yang memberi kepercayaan kepada NEST untuk mengendalikan bengkel kewartawanan peranti itu kerana ia membolehkan peserta menggunakan telefon bimbit dan aplikasi i-Naturalist untuk perkongsian data mengenai kepelbagaian bio bagi tontonan serta bacaan umum.
"Saya berharap peserta memanfaatkan ilmu dan riadah di lapangan untuk membolehkan mereka lebih memahami mengenai asas penulisan, bagaimana menghasilkan video pendek yang baik selain keseronokan menikmati alam sekitar yang indah di Tama Rimba Alam, Putrajaya," katanya lagi.
Peserta terbaik Bengkel Asas Kewartawanan Peranti, "Kesedaran Mengenai Kepentingan Biodiversiti Melalui Riadah", Noor Izyani Salleh (dua dari kanan) menerima hadiah daripada Jemaah Nazir KPM, Mohd Farol Mohd Faudzi (tiga dari kanan)
Peserta Bengkel Asas Kewartawanan Peranti gembira selepas menamatkan hiking di Taman Rimba Alam sambil menikmati keindahan alam semula jadi.