Kampus & Pendidikan 23 Mar, 2021

Sultan Kedah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UUM! Lantik dua Pro-Canselor baharu

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi.

Share this

Sultan Kedah; Sultanah Maliha Ibni Almarhum Tengku Ariff; Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dr. Mohd Shukor Mahfar dan Naib Canselor UUM Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani bergambar kenangan. -  Gambar-gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie. 


UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) melakar sejarah penting apabila Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang juga Tuanku Canselor UUM telah dipersembahkan dengan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pentadbiran dan Pembangunan Awam) UUM sempena Majlis Konvokesyen Diraja dan Pemasyhuran Pro-Canselor UUM di Istana Anak Bukit pada 21 Mac 2021 lalu.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, selaku Pro-Canselor UUM, telah mempersembah ijazah kehormat tersebut kepada Sultan Kedah yang merupakan Canselor universiti ini sejak 2017.


Lagi laporan-laporan menarik berkaitan UUM:

https://kitareporters.com/search?search=UUM


Tengku Sarafudin Badlishah (kiri) mempersembah anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Sultan Sallehuddin di Istana Anak Bukit pada 21 Mac 2021.


Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, persembahan ijazah kehormat itu adalah sebagai menghargai dan mengiktiraf naungan serta sumbangan Sultan Kedah selaku Canselor UUM terutama dalam pembangunan pendidikan di negeri Kedah.

Menurutnya, pencapaian cemerlang UUM sejak dari awal penubuhan sehingga kini disebabkan kecintaan Istana Kedah terhadap institusi ilmu.

"Hubungan istimewa antara ‘istana dan universiti’ ini akan terus kekal sebagai manifestasi kesetiaan warga UUM kepada Raja dan Negara seperti yang terkandung dalam pengertian lingkaran warna kuning logo UUM.

"Di samping itu, baginda yang meminati dan memberi perhatian kepada bidang pendidikan juga telah menekankan tentang kepentingan menimba ilmu khususnya dalam era kemajuan teknologi masa kini dan baginda telah menzahirkan supaya universiti ini menubuhkan Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi menyebarkan pengetahuan dalam bidang berkenaan kepada semua peringkat terutamanya akar umbi," katanya.


SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah (kanan) menyempurnakan pemasyhuran Tengku Shazuddin Arif Sultan Sallehuddin sebagai Pro-Canselor UUM baharu di Istana Anak Bukit, Alor Star.


Pada majlis sama, Tengku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin, Tunku Laksamana Kedah dan Tengku Tan Sri (Dr.) Mahaleel Tengku Ariff turut dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor UUM yang baharu. Pemasyhuran tersebut telah diisytiharkan oleh Tuanku Canselor, Sultan Sallehuddin.

Hadir sama, Sultanah Maliha binti Almarhum Tengku Ariff, Tuanku Sultanah Kedah; dan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, Raja Puan Muda Kedah. 

Selain itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar turut hadir menyaksikan Majlis Konvokesyen Diraja dan Pemasyhuran Pro-Canselor UUM tersebut. - KitaReporters


SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah (kanan) menyempurnakan pemasyhuran Tengku Tan Sri (Dr.) Mahaleel Tengku Ariff sebagai Pro-Canselor UUM baharu di Istana Anak Bukit, Alor Star 

1
0
0
0
0
You will be interested