Kampus & Pendidikan 09 Sep, 2021

Isu kediaman pelajar! Universiti kena selalu siap siaga! Urus risiko, bencana seperti COVID-19!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Mazlan Yusof berucap merasmikan ISHAD 2021 secara dalam talian.


Universiti Awam (UA) perlu sentiasa bersiap siaga untuk mengurus risiko dan bencana yang boleh berlaku pada bila-bila masa

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Mazlan Yusof berkata, universiti perlu bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan para pelajarnya di kolej-kolej kediaman sentiasa terpelihara.

Pengetua dan felo kolej-kolej kediaman juga perlu berada dalam mod berjaga-jaga dan bekerja secara lebih masa terutama untuk memutus rantaian penularan kes positif COVID-19


Lagi cerita-cerita menarik UUM


Kenyataan ini katanya bermakna mereka perlu senantiasa berfikir di luar kotak untuk bersedia menghadapi segala bentuk mehnah dan musibah agar tidak menyesal pada kemudian hari. 

“Pepatah Melayu juga ada menyebut sudah terantuk baru tergadah yang bermaksud berjaga-jaga lebih baik sebelum perkara buruk berlaku. 

"Oleh itu saya yakin dan percaya, International Seminar on Student Housing and Development atau Seminar Antarabangsa mengenai Perumahan dan Pembangunan Pelajar (ISHAD) 2021 ini mampu menyediakan cadangan penambahbaikan terhadap garis panduan yang bakal dikeluarkan kepada para pelajar apabila mereka kembali ke kolej kediaman nanti,” ujarnya ketika berucap merasmikan ISHAD 2021 secara dalam talian.


Peserta yang menyertai ISHAD 2021.


Mazlan berkata, garis panduan tersebut sudah pasti akan memenuhi kehendak semasa untuk mengadaptasi norma baharu.

Ini sekali gus, katanya, menjadi satu persediaan untuk mereka agar sentiasa bersiap siaga menghadapi segala bentuk kemungkinan melalui Mesyuarat Majlis Perumahan Universiti-Universiti Awam Malaysia (MAPUM) yang telah diwujudkan sekian lama di bawah Sekretariat Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar bagi menyelaras segala bentuk maklumat berkaitan persediaan dalam menentukan amalan yang menepati norma baharu.

Oleh itu beliau berharap seminar ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak dan menjadi pemangkin kepada pelbagai  perancangan dan pelaksanaan program secara bersama demi kebajikan para pelajar. 


Studio yang memaparkan ISHAD 2021.


Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Hafiz Zakariya berkata, ISHAD 2021 yang dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) dan MAPUM ini bertujuan untuk memenuhi tuntutan negara bagi menyediakan sumber tenaga manusia yang mahir, berkelayakan dan sesuai dengan keperluan negara yang sedang membangun menerusi pelbagai bidang yang penting seperti bidang sains, teknologi, vokasional, teknikal, pertanian, pengurusan, pendidikan dan bidang-bidang lain.

“Dalam rangka menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan terkemuka pada mata dunia pada era Revolusi Industri 4.0, pendidikan tinggi dilihat sebagai satu platform terpenting untuk mencapai matlamat penyusunan semula pola sosial dan ekonomi negara serta memenuhi tuntutan masyarakat secara inklusif,” ujar beliau, yang Pengerusi MAPUM, dalam ucapan aluannya itu.


Antara panel yang menjayakan ISHAD 2021.


Manakala Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM Prof Madya Dr Hendrik Lamsali ketika dihubungi berkata, kolej kediaman pelajar ataupun asrama pelajar mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah pelajar secara holistik

Oleh itu kolej kediaman ini tidak boleh dilihat hanya sebagai sebuah bangunan ataupun tempat tinggal tetapi perlu dilihat sebagai satu organisasi atau tempat belajar yang mempunyai budaya dan persekitaran

“Rata-rata pelajar yang melanjutkan pengajian di UA ini berasal dari pelbagai negeri dengan latar dialek, agama, bangsa yang berbeza namun mereka tinggal di bawah satu bumbung menjadikan mereka dipengaruhi budaya untuk hidup bermasyarakat, inklusif dan unggul,” katanya. 


Pemimpin-pemimpin pelajar juga menyertai seminar ini.


Namun kesemua mereka yang berada di kampus sebelum ini amat terkesan dan mula memahami dengan norma baharu kehidupan yang terpaksa belajar dan mengikuti program, persidangan, latihan dan aktiviti secara dalam talian.

Oleh yang demikian, pengurusan kolej kediaman perlu mengoptimumkan penggunaan aplikasi dalam talian seperti Webex, Google Meet, Zoom dan sebagainya.

Program yang dianjurkan dalam norma baharu ini juga perlulah dibuat secara kreatif dan inovatif supaya mereka boleh meluangkan banyak masa bersama dengan peranti untuk mengikuti syarahan pembelajaran serta aktiviti menerusi media sosial dan sebagainya. 

Lebih 150 peserta terdiri daripada pelajar universiti, pegawai kolej dan pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah mengikuti majlis perasmian secara Webex ini.

Turut hadir dalam pembentangan ini ialah UUM (5 staf dan 29 pelajar), UPM (12 staf), UniMAP (3 staf), UTHM (10 staf), UiTM dan IIUM (seorang staf), UMT (6 staf dan seorang pelajar) dan UMS (seorang staf). - KitaReporters


Dekan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Massudi Mahmuddin turut dijemput ke seminar ini.

13
12
0
10
0
You will be interested