Warga SK Sungai Pergam, Bagan Datuk, Perak, dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat mengadakan ‘Gotong Royong Madani’ di sekolah tersebut. Gotong royong ini bertujuan memastikan persekitaran sekolah sentiasa bersih, ceria dan selamat. - KitaReporters

Sekolah Kebangsaan (SK), Sungai Pergam, terletak hanya beberapa kilometer dari Pekan Bagan Datuk, Perak.
PERSEKITARAN sekolah yang cantik bersih, bangunan yang menyerlah dengan cat baharu dan serta bilik darjah yang kemas serta teratur mewujudkan suasana kondusif untuk proses pelajaran dan pembelajaran (P&P).
Suasana selesa dan damai menceriakan guru dan murid. Apabila luaran dan dalaman sekolah bersih cantik menyegarkan mata dan minda, proses mengajar dan belajar dapat berlangsung dalam suasana menyeronokkan.

Guru-guru SK Sungai Pergam tekun mengecat semula bangunan sekolah yang kusam agar kembali ceria.

Begitu bersemangat guru-guru SK Sungai Pergam mengecat tembok koridor sekolah pada Gotong Royong Madani baru-baru ini.
Atas kesedaran ini, warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pergam, Bagan Datuk, Perak, dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat mengadakan ‘Gotong Royong Madani’ di sekolah tersebut pada 8 Ogos 2025 lalu.
Gotong royong ini bertujuan memastikan persekitaran sekolah sentiasa bersih, ceria dan selamat. Sekolah yang tidak bersih, penampilan suram boleh melunturkan semangat untuk mengajar dan belajar.
Persekitaran yang tidak dijaga dengan rapi menyebabkan kawasan kotor dan semak. Ini berbahaya kerana tidak diketahui apa yang tersembunyi dalam semak, boleh jadi benda tajam atau haiwan berbisa yang memudaratkan guru dan murid.

Hati-hati cikgu, tinggi tu! Tidak mengapa penat mengecat asal SK Sungai Pergam cantik berseri.
Kerana itu Gotong Royong Madani SK Sungai Pergam menekankan aspek kebersihan, keceriaan dan keselamatan. Untuk itu semak samun di kawasan sekolah dibersihkan, biar cantik mata memandang, biar lebih selamat kaki memijak bumi.
Tiang gol boal sepak yang sudah
lama dan uzur dirobohkan. Ini perlu kerana dibimbangi tiang gol usang itu
membayakan murid. Bayangkan jika ketika sedang bermain, tiang gol tumbang menimpa mereka!
Bagi mengelakkan ancaman haiwan berbisa dan serangga, rumpun buluh yang terdapat di kawasan sekolah ditebang. Ini bagi mengelakkan rumpun buluh itu jadi sarang serangga dan haiwan berbisa.

Tiang gol usang dirobohkan agar tidak mendatangkan bahaya kepada murid.

Rumpun buluh di kawasan sekolah SK Sungai Pergam dimusnahkan agar tidak menjadi tempat tinggal serangga dan haiwan berbisa.
Untuk menimbulkan keceriaan pada bangunan sekolah, Gotong Royong Madani SK Sungai Pergam mengecat bangunan sekolah agar nampak baharu dan berseri. Bangunan yang sudah nampak kusam kembali cerah disapu cat baharu.
Gotong royong juga melibatkan kerja mengemas
dan menceriakan bilik darjah. Jika mahu belajar dalam suasana ceria, bilik darjah perlu kemas
dan teratur.
Kerusi meja lama yang tidak boleh lagi diguna dilupus dengan kelulusan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

Murid-murid SK Sunai Pergam membantu membersih dan mengemas bilik darjah supaya lebih tersusun dan enak mata memandang.

'Sudut Maklumat' juga menerima sentuhan dikemas dan ditambah baik.
Jelas kesemua warga sekolah, PIBG dan masyarakat setempat begitu komited menjayakan gotong royong dalam suasana santai, harmon serta ikatan silatulrahim yang kukuh.
Atas semangat kerjasama ini kerja gotong royong berjalan lancar dan berjaya. Selepas gotong royong selesai, jamuan ringan disediakan.

Kerusi meja yang rosak dilupus menurut prosedur ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.
Kepada semua pihak yang hadir, pihak SK Sungai Pergam berterima kasih atas kerjasama padu yang ditunjukkan.
Semoga usaha murni ini membolehkan murid-murid SK Sungai Pergam belajar dalam selesa, ceria dan selamat. -KitaReporters

Kerja gotong royong sudah selesai. Masa untuk berehat sambil menjamu selera.

Sambil berehat menikmati jamuan selepas gotong royong, tetap berbincang mengenai kesejahteraan, keceriaan dan keselamatan sekolah.