Kampus & Pendidikan 15 Jun, 2022

Terbaiklah! Komputer riba percuma! Putra Cakna Alumni Care! UPM bantu pelajar OKU, B40 dan asnaf!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Alhamdulillah... pelajar-pelajar daripada keluarga B40 serta asnaf yang OKU kini boleh menggunakan komputer riba seperti pelajar lain.


BERAT sama dipikul, ringan sama dijinjing. Setiap orang rezekinya tidak sama. Ada yang senang ada yang susah. Namun, sebagai manusia yang ada hati dan perasaan, pastinya tidak tegar melihat ada insan lain dalam kesusahan.

Kesenangan yang kita ada, alangkah baiknya dikongsi bersama. Justeru, atas kecaknaan itulah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) mengadakan satu program dinamakan Program Putra Cakna Alumni Care: Heart to Heart.

Program ini memfokuskan kepada pemberian komputer riba percuma kepada pelajar keluarga B40, asnaf dan juga pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan komputer riba sendiri.

Menerusi program ini, seramai enam orang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) termasuk salah seorang daripada mereka adalah pelajar OKU telah menerima sumbangan komputer riba secara percuma dari ARCUPM.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus UPM

Para pelajar yang menerima sumbangan komputer riba.


Dalam arus pendidikan yang kian mencabar, iaitu pembelajaran secara dalam talian dan dunia tanpa sempadan, peranti serta data Internet adalah dua perkara yang sudah menjadi keutamaan dan penting untuk kelangsungan pelajar. Tambahan dalam era pascapandemik, peranti dilihat satu perkara asas yang amat penting untuk pelajar.

Melihat kepada kekangan ini, ARCUPM melancarkan gerakan menerusi progiram yang direka khas demi membantu para pelajarnya yang amat berpotensi tinggi meraih kejayaan agar tidak tercicir.

Selain berlatarbelakangkan keluarga kurang berkemampuan, para pelajar ini adalah pelajar cemerlang daripada pelbagai program pengajian antaranya, Bacelor Perakaunan, Bacelor Sains Biokimia, Bacelor Sains Pembangunan dan juga Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu dengan Kepujian.

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud menyifatkan program adalah satu inisiatif terbaik dalam menyantuni dan membantu pelajar UPM yang memerlukan peranti.

Beliau berharap akan lebih ramai lagi alumni UPM khususnya yang kembali ke alma mater untuk terus menyumbang bakti kepada universiti dalam usaha bersama-sama mengekalkan reputasi UPM sebagai universiti paling lestari di negara ini.

Tambah beliau lagi, langkah ini merupakan program yang dirangka secara berterusan.


Dr. Roslan Sulaiman beramah mesra dengan pelajar-pelajar yang terlibat. 


“Akan ada lagi program ini pada masa akan datang dalam kita bersama-sama menyantuni pelajar UPM yang memerlukan. Program ini tidak terhad kepada pelajar di kampus UPM Serdang sahaja malahan terbuka luas kepada pelajar di kampus UPM Bintulu.

“Jadi dalam meneruskan program murni ini, kami di Pusat Perhubungan Alumni mengalu-alukan sumbangan berterusan daripada alumni UPM sejajar dengan seruan dalam Naratif Naib Canselor 2022 iaitu, ‘Melibat Sama Alumni untuk Kelangsungan Universiti’,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar yang ditemui juga melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada seluruh alumni UPM atas keprihatinan dengan nasib pelajar yang tidak berkemampuan seperti mereka.

Bagi pelajar OKU fizikal, Nurdinie Azlan, dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, ternyata rasa sebak dengan sumbangan yang diterimanya itu.

“Selama ini saya hanya bergantung kepada skrin kecil di telefon bimbit ataupun hanya meminjam komputer riba rakan untuk saya menyiapkan tugasan. Amat sukar untuk saya terutama pada tempoh perintah kawalan pergerakan yang lepas.

“Hari ini saya rasa amat gembira dan terhutang budi dengan seluruh warga UPM kerana membantu kami yang tidak berkemampuan membeli komputer riba sendiri.

“Saya berjanji menerusi bantuan ini, saya akan terus belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya dan juga akan kembali sebagai seorang alumni yang turut menyumbang bakti kepada alma mater.

“Inisiatif yang dilakukan oleh Pusat Perhubungan Alumni ini sebenarnya telah menyuntik semangat kami untuk terus mencipta kejayaan hingga mengharumkan nama universiti. Sekali gus sumbangan ini membuktikan bahawa kami tidak berseorangan mengharungi saat sukar demi sebuah kejayaan yang kami impikan demi mengubah masa depan kami semua,” ujarnya.

Pada sesi itu juga, Naib Canselor UPM Prof. Dato’ Dr. Roslan Sulaiman sempat menitipkan kata-kata semangat kepada pelajar ini, bahawa dengan ilmu bukan sahaja mampu mengubah kehidupan tetapi juga mampu menawan dunia.


Penyerahan kembali bendera UPM daripada Ravichandran kepada Dr. Roslan Sulaiman.


Di majlis itu juga berlangsungnya penyerahan kembali bendera keramat UPM yang berjaya dikibarkan di puncak tertinggi dunia, Gunung Everest oleh Ravichandran Tharumalingan yang juga merupakan alumni UPM kelas 1990

Kejayaan julung kali dilakukan oleh alumninya sendiri ini telah tercatat dalam sejarah UPM apabila pada 12 Mei 2022, bendera kebanggaan seluruh warga UPM ini telah berkibar megah di puncak Everest

Setelah kembalinya ke tanah air, bendera yang sama telah diserahkan kembali kepada Dr. Roslan. - KitaReporters


Ravichandran (kiri) beramah mesra dengan Dr. Roslan Sulaiman (tengah).


16
9
0
21
0
You will be interested