Kampus & Pendidikan 16 Feb, 2022

Jasamu dikenang! Terima kasih UMT! Anjur program majlis santai hargai pengamal media Terengganu!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar (tengah) bergambar kenangan bersama wakil media dan pengurusan UMT. - Kredit foto: Media Kreatif UMT


PENGAMAL media di Terengganu agak beruntung kerana pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi tempatan sentiasa cakna dan menghargai jasa serta peranan yang dijalankan oleh petugas media dalam melaporkan sesuatu isu dan perkembangan semasa di negeri itu. 

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) adalah antara institusi yang meneruskan tradisi meraikan pengamal media walaupun masih dalam situasi pandemik COVID-19.


 Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pengamal media

Prof Dr Mazlan melawat gerai produk herba yang dikeluarkan oleh UMT


Terbaharu, Program Majlis Santai Naib Canselor UMT Bersama Media merupakan inisiatif universiti menghargai sokongan padu agensi media kepada UMT dalam usaha meningkatkan citra institusi pengajian tinggi awam tersohor di pantai timur itu. 

Majlis minum petang yang diadakan di Terengganu Drawbridge itu turut dihadiri lebih 80 pengamal media Terengganu daripada pelbagai agensi.

Naib Canselor UMT, Prof Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata pihaknya amat menghargai kerjasama erat yang diberikan oleh pengamal media kepada UMT walaupun dalam suasana pandemik.


Prof Dr Mazlan beramah mesra dengan wakil media yang hadir pada Majlis Santai Naib Cancelor bersama pengamal media Terengganu


“Penganjuran majlis santai ni adalah sebagai tanda UMT menzahirkan penghargaan dan tanda terima kasih kepada semua pengamal media terutamanya pengamal media Terengganu yang telah banyak membuat liputan mengenai UMT,” katanya.

Katanya, sebagai menghargai rakan media juga, UMT telah memperuntukkan sumbangan dalam bentuk baucar berjumlah RM10 ribu sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada rakan media yang terbabit secara langsung dengan UMT.


Dr Mazlan menyampaikan ketika ucapan


Prof. Dr. Mazlan berkata, mutu sesebuah berita yang dihebahkan oleh media juga perlu dititikberatkan dan ia merujuk kepada etika pengamal media professional. 

“Perkembangan teknologi begitu pantas dan medium penyebaran maklumat juga pelbagai dan bagi mendapatkan maklumat yang sahih adalah agak mencabar,” katanya.

Namun katanya, beliau percaya biar secanggih mana pun teknologi yang digunakan, sebagai seorang wartawan, etika, integriti serta tanggungjawab wartawan dalam menyalurkan bahan berita yang sahih dan tepat amatlah penting dan perlu diutamakan.


Prof Dr Mazlan (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil KitaReporters Terengganu, Mohammad Ishak.


Sementara itu, Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Khairul Azlam Mohamad berbesar hati atas penganjuran majlis meraikan media tersebut.

“KAWAT mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UMT atas penghargaan berterusan kepada kalangan pengamal media, mudah-mudahan ukhwah antara kita berkekalan sampai bila-bila," katanya lagi.

Pada majlis itu, pihak UMT turut menyampaikan sijil penghargaan petugas barisan hadapan kepada agensi media termasuk portal KitaReporters yang telah bekorban ketika negara diserang wabak COVID-19 bagi memastikan penyebaran berita serta pemakluman diterima di bandar mahupun luar bandar. - KitaReporters 


 Prof Dr Mazlan menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil TV3 Terengganu


 

 

 

16
11
1
10
0
You will be interested