Kampus & Pendidikan 21 Sep, 2023

Video| 3 pelajar UUM kumpulan B40 akan ke Perancis! Jalani program dwiijazah tajaan Yayasan Axiata!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this


Mohamad Kamal Nawawi berucap pada majlis.

Yayasan Axiata bersetuju menaja tempat kepada tiga orang pelajar dalam kalangan B40 yang cemerlang untuk program dwiijazah Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Montpellier Business School di Perancis.  

Dwiijazah berkenaan ialah Bachelor of International Business Management (UUM) dan Bachelor of International Business Administration  di Montpellier Business School pada tahun 2024 selama setahun bagi pelajar semester lima dan enam.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Axiata, Mohamad Kamal Nawawi berkata, pihaknya sangat gembira kerana dapat bersama-sama dengan UUM untuk melahirkan pelajar kumpulan B40 tetapi berperwatakan global.


Prof Dr Mohd Foad Sakdan dan Mohamad Kamal Nawawi menandatangani MoU di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin.

“Kita akan menaja pelajar berkenaan untuk membolehkan mereka mendapat pengalaman belajar di Perancis dengan memiliki dua ijazah serentak, sekali gus membolehkan pelajar berkenaan lebih mudah diterima dalam industri.

“Yayasan Axiata memang bertujuan untuk memperkaya pendidikan anak-anak bangsa supaya berjaya dan akhirnya mereka akan membantu pula negara,” katanya dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Yayasan itu dengan UUM di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin, Sintok, Kedah pada 20 September 2023.

MoU itu ditandatangani Mohamad Kamal mewakili Yayasan, manakala UUM diwakili Naib Canselornya, Prof Dr Mohd Foad Sakdan.

Antara lain MoU itu bagi menjalinkan usaha sama dan kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan, perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat.



Sementara itu,  Dr Mohd Foad berkata, kerjasama adalah selaras dengan aspirasi universiti untuk menggerak dan mengaktifkan lagi jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak pada peringkat nasional dan antarabangsa. 

“Dalam konteks ini, universiti amat berbangga mempunyai hubungan kerjasama yang akrab dan strategik dengan pihak Axiata yang merupakan sebuah syarikat gergasi telekomunikasi di dunia ini,” ujar beliau lagi.

Menurutnya, hubungan kerjasama yang akrab dan strategik dengan pihak Axiata ini akan memberi nilai tambah untuk UUM bagi mendepani cabaran dan perubahan mendadak dunia teknologi yang berkembang dan melebar luas sekarang ini.

Turut hadir ialah Ketua Axiata Young Talent Programme & Axiata Graduate Programme, Rohaiza Ahmad; Timbalan Naib Canselor  Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; dan Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Prof. Madya Dr. Nazariah Osman. - KitaReporters


Delegasi Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Yayasan Axiata (AF) bergambar kenangan.

9
12
0
13
0
You will be interested