Kampus & Pendidikan 23 Sep, 2023

Tahniah Nur Adyranna Aressa! Ditawar program Sarjana Muda Perakaunan UUM! Di bawah program Sulung 2.0!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi.

Share this

Prof Dr Mohd Foad Sakdan menunjukkan surat tawaran pengajian kepada Nur Adyranna Aressa Ramli. 


Nur Adyranna Aressa Ramli dari Kampong Charok Kudong, Pendang terkejut dengan kehadiran Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Foad Sakdan ke rumah neneknya pada 22 September 2023.

“Lebih mengejutkan kehadiran beliau bersama Dekan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Dr Massudi Mahmuddin membawa berita gembira dengan memaklumkan saya terpilih sebagai pelajar pertama dari universiti ini untuk Program Sulung 2.0,” ujarnya dalam pertemuan itu. 

Anak sulung daripada dua beradik ini berkata, kegembiraan berganda ini adalah kerana bukan sahaja dapat melanjutkan pengajian ke universiti nombor satu terbaik negara di bawah usia 50 tahun dalam Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2023, malah terpilih pula dalam program Sulung.

Katanya, purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 yang diperolehinya membolehkan dia melanjutkan pengajian di UUM dalam program Sarjana Muda Perakaunan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) untuk sesi 2023/2024 pada 10 Oktober 2023 ini.

“Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan membalas jasa ibu, ayah dan nenek yang membesarkan saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu ayahnya Ramli Mohd Abu yang bekerja sendiri dan ibunya Salwa Wahab (suri rumah) melahirkan ucapan terima kasih kepada Naib Canselor kerana bukan sahaja berkunjung ke rumah mereka malah membawa berita yang mengembirakan.



Sementara itu Dr Mohd Foad ketika ditemui berkata, kunjungan ini adalah untuk bertemu dan melihat sendiri persediaan pelajar baharu yang akan mendaftar pada Oktober ini.

“Memandangkan Nur Adyranna Aressa memenuhi kriteria untuk dipilih dan ditawarkan bagi program Sulung iaitu generasi pertama keluarga daripada kategori B40 maka kunjungan ini juga diharap membawa berita gembira untuk keluarga ini,” ujar beliau lagi.

Katanya, seramai 388 pelajar kalangan B40 pelbagai kaum dan bangsa akan dipilih menyertai Program Sulung 2.0 universiti ini yang melibatkan 188 pelajar baharu dan 200 adalah pelajar sedia ada.

Melalui program ini setiap pelajar dibiayai RM4,998 sepanjang enam semester pengajian mereka.

Menurut beliau, program ini terbuka untuk semua bidang pengajian peringkat ijazah selepas penilaian dan pengesahan dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar melalui semakan di lapangan.


Prof Madya Dr Massudi Mahmuddin (kiri) bersama ahli keluarga  Nur Adyranna Aressa.


Mengulas lebih lanjut beliau menyatakan program ini merupakan inisiatif yang diperkenal oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan memberikan peluang dan kemudahan melanjutkan pengajian di menara gading kepada generasi pertama yang cemerlang dalam keluarga B40 tetapi kurang berkemampuan.

“Antara manfaat yang diterima oleh mereka laluan Kemasukan Khas B40 ialah pengecualian yuran pengajian dan pembangunan insaniah serta sokongan akademik dan kaunseling,” sambung Dr Mohd Foad lagi. - KitaReporters

18
7
0
13
0
You will be interested