Kampus & Pendidikan 16 Apr, 2024

Syabas USIM! Inisiatif Data Terbuka buka akses kepada lebih 13,000 bahan penyelidikan secara percuma!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada prousim@gmail.com

Share this


Pengunjung Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) boleh mengakses lebih 13,000 bahan penyelidikan digital secara percuma melalui Sistem Repositori Penyelidikan (SRP) yang baharu. 

Sistem repositori ini dibangunkan melalui inisiatif Dasar Akses Terbuka di mana USIM adalah antara Universiti Awam yang terawal membangunkan dasar tersebut (pada 2018) dan dikuatkuasakan sepenuhnya sejak 2020. 

Sistem Repositori Penyelidikan (SRP) dibangunkan dengan menggunakan perisian daripada sumber terbuka (open source) dan memberikan akses secara terbuka serta percuma kepada bahan-bahan hasil penyelidikan warga USIM yang telah diterbitkan sejak 2000. 

Menurut Nor Azzah Momin, Ketua Pustakawan USIM, pembangunan repositori dan pengumpulan khazanah intelektual warga universiti secara digital bukanlah satu perkara asing bagi USIM kerana perpustakaan. 



Menurut beliau USIM telah melaksanakan aktiviti pendigitan bahan bermula sejak tahun 2005 lagi, di mana ketika itu aktiviti pendigitan tertumpu kepada pengimbasan foto-foto bercetak yang mempunyai nilai sejarah kepada universiti dan disimpan dalam storan khusus. 

“Aktiviti pengimbasan ini kemudiannya dikembangkan kepada bahan-bahan lain seperti kertas soalan peperiksaan kebelakangan, keratan akhbar dan bahan-bahan penerbitan universiti. 

"Bermula 2008, bahan-bahan ini telah dimuat naik ke Sistem Repositori Institusi (eImtiyaz) dan ia boleh diakses oleh para pengguna secara maya,” katanya.

Ujarnya lagi, sistem eImtiyaz menjadi wadah utama bagi aktiviti pendigitan sumber maklumat kepada Perpustakaan USIM pada waktu itu.  

“Berfokuskan kepada pendigitan dokumen berkaitan dengan universiti, eImtiyaz menjadi antara pelantar yang sering digunakan untuk mendapatkan bahan bahan yang menjurus kepada sejarah universiti. 

"Antara koleksi yang boleh didapati dalam eImtiyaz adalah Koleksi Keratan Akhbar, Koleksi Ucapan Naib Canselor, Koleksi Buletin, Koleksi Laporan Tahunan dan Koleksi Foto Digital, ” tambah beliau lagi.



Kini koleksi SRP telah mencecah 13,800 bahan dan 80% daripadanya berteks penuh. Hanya 20% masih terikat dengan isu hak cipta dan Perpustakaan USIM telah mengambil langkah untuk mendapatkan bahan yang bebas hak cipta seperti bahan yang berstatus pre-print (pracetak) dan post-print (pascacetak). 

Sistem Repositori Penyelidikan (SRP) Digital USIM boleh diakses secara percuma melalui pautan https://oarep.usim.edu.my/jspui/.

Sementara itu, usaha USIM ke arah merealisasikan inisiatif Data Terbuka diteruskan dengan fasa pelaksanaan Dasar Pengurusan Data Penyelidikan yang telah diluluskan pada tahun 2022. 

Jawatankuasa Pengurusan Data Penyelidikan Universiti telah ditubuhkan untuk memandu dan mengkoordinasi gerak kerja ke arah pelaksanaan dasar tersebut. 

Ia selari dengan inisiatif yang dianjurkan oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Akademi Sains Malaysia (ASM) iaitu pembangunan Dasar Data Terbuka (Open Data). - KitaReporters/USIM

 

14
16
0
13
0
You will be interested