Kampus & Pendidikan 28 Jun, 2025

Keprihatinan Sultan Sharafuddin! Tajaan eksklusif di UIS untuk anak Selangor! Bagi ijazah pertama!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

.


UNIVERSITI Islam Selangor (UIS) terharu dan menyambut baik titah Sultan Selangor yang menggalakkan anak Selangor melanjutkan pelajaran ijazah pertama di universiti itu.

Sebagai institusi pengajian tinggi milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), UIS komited menyediakan pendidikan tinggi berkualiti dan berteraskan nilai-nilai Islam.

Naib Canselor UIS, Datuk Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, berkata pihaknya menjunjung kasih atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang disampaikan melalui Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Baginda mahu dan menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama di UIS.


Universiti  Islam Selangor (UIS)


"UIS kini menawarkan lebih 79 program dari peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

"Dengan sokongan Sultan Sharafuddin, UIS terus komited memperkasa modal insan negeri Selangor dan Malaysia amnya," katanya dalam sidang akhbar di pejabat Naib Canselor UIS, Bandar Seri Putra, Selangor. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Dr. Abdul Razif Zaini.

Pada 10 Mei 2025, melalui kenyataan rasmi JAIS, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa penajaan ijazah pertama bagi bidang pengajian Islam oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Lembaga Zakat Selangor akan diberikan eksklusif di UIS atau institusi tempatan lain, bukan untuk pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara (Asia Barat).

Ini bagi memperkukuh ekosistem pendidikan agama di Selangor dan menjaga jati diri pelajar. Baginda juga mahu pelajar lepasan SPM daripada keluarga berpendapatan rendah menerima tajaan dan peluang ke UIS.

Sultan Sharafuddin menyatakan kebanggaannya terhadap peningkatan permohonan pelajar baharu ke UIS, sekali gus membuktikan keyakinan rakyat kepada kualiti pendidikan di universiti berkenaan dan Selangor amnya.


Dr Mohd Farid Ravi Abdullah


Dr Farid Ravi berkata, UIS menawarkan program melalui enam fakulti iaitu Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Fakulti Ekonomi Perakaunan dan Pengurusan, Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran, Fakulti Pendidikan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Fakulti Sains Sosial dan Pusat Matrikulasi.

"Ia dibangunkan khas bagi memenuhi keperluan industri dan akademik masa kini. Ia memberi tumpuan kepada pembangunan ilmu, sahsiah dan nilai Islam.

"UIS turut aktif dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan penganjuran persidangan akademik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa selain menjalin 55 kerjasama strategik melalui memorandum persefahaman dan perjanjian dengan institusi dalam dan luar negara.

"Sistem pendidikan bersepadu sains dan agama di UIS memupuk siswa yang seimbang dari sudut intelektual dan akhlak," katanya lagi.


Kampus UIS Bandar Seri Putra dikelilingi hutan hijau dan tasik yang tenang memberi suasana yang sesuai untuk tempat menimba ilmu.


Dalam usaha memperluas capaian antarbangsa, katanya UIS bercadang memperkukuh jaringan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di Timur Tengah dan Asia. Ini sekali gus membuka lebih banyak peluang pendidikan dan mobiliti pelajar.

"Selaras dengan visi itu, UIS merancang membangunkan fasiliti pascasiswazah di atas tanah seluas 85 hektar yang dikurniakan Sultan Selangor di Cyberjaya.

"UIS memahami keprihatinan Sultan Selangor dalam memastikan pelajar Selangor diberi asas kukuh di peringkat ijazah pertama sebelum melangkah ke luar negara bagi pengajian pascasiswazah. Langkah itu dilihat sebagai strategik bijak untuk melahirkan graduan yang matang, berfikiran luas, kritis dan berdaya saing di peringkat global," katanya.

Bagi lepasan SPM, katanya, UIS menyediakan program Asasi sebagai laluan persediaan sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah. 

Bagi lepasan STPM pula, pelbagai program Ijazah Sarjana Muda ditawarkan seperti pengurusan, perundangan syariah, multimedia, komunikasi dan penyiaran, sains sosial, pendidikan, perakaunan dan pengajian Islam.

Pelajar yang berminat melanjutkan pengajian di UIS boleh mendapatkan maklumat dan membuat permohonan melalui laman web rasmi universiti di www.uis.edu.my, media sosial UIS atau info terkini di uisrasmi. - KitaReporters


Dewan kuliah yang besar dan selesa untuk pembelajaran.

11
9
0
15
0
You will be interested