.
"Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah, sanggupkah berpisah."
Lagu malar segar dendangan penyanyi tersohor tanah air Datuk Sharifah Aini mengundang rasa sayu dalam kalangan penonton apabila diangkat sebagai mesej utama menerusi karya terbaharu Pusat Kebudayaan (Puskeb) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Buah tangan istimewa sempena Ramadan 1446H meruntun perasaan dengan kisah penuh makna.
Seri Muka bukan sekadar kuih, tetapi membawa simbolik mendalam tentang kasih sayang keluarga apabila seorang anak cuba kembalikan keceriaan keluarganya.
Kisah ini memaparkan Along seorang pelajar univerisiti tinggal bersama ayahnya. Hubungan mereka semakin renggang dan apabila menjelang bulan Ramadan sikap ayahnya menjadi semakin dingin.
Along tertanya sendiri, apakah kesalahan yang dilakukan sehinggakan kehadirannya seolah-olah tidak disedari.
Lebih menyedihkan apabila menjelang waktu sahur dan berbuka ayahnya tidak lagi mengejutnya bangun, malah tiada juadah berbuka tersedia untuknya.

Karya ini mencipta pencapaian yang memberangsangkan apabila dalam tempoh tujuh hari tayangan, Seri Muka telah berjaya lebih 10 ribu tontonan.
Filem pendek ini karya pertama arahan Aiman Azhad Noraizam, pelajar tahun dua USIM kini aktif dalam bidang fotografi, namun turut menanam minat terhadap videografi tidak membataskan untuk beliau menghasilkan Seri Muka.
Produksi Seri Muka dijayakan oleh 15 ahli Kelab Mutimedia dan Keusahawanan Seni (KMKS) Puskeb USIM dengan menampilkan Pengarah Puskeb, Mohd Salehudin Sukor sebagai teraju utama dan Muhamad Hafiz Haroi @ Hardi sebagai Along.
Penggambaran filem pendek ini dijalankan di sekitar Nilai Negeri Sembilan sebagai latar yang bersesuaian dengan cerita yang ingin disampaikan. - KitaReporters
