Kampus & Pendidikan 05 Feb, 2026

Menanam untuk Masa Depan! Program lestari sempena sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia! Usaha PKK UMT!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Pejabat Komunikasi Korporat (PKK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan program lestari bertemakan Sesi Lestari Replanting for Future (Menanam untuk Masa Depan) sebagai usaha memupuk kesedaran pemuliharaan alam sekitar melalui pendekatan turun padang bersama-sama komuniti setempat.



Warga PKK selesai membuat penanda sign parenting.


Program yang melibatkan penyertaan seramai 30 orang warga kerja PKK UMT itu berlangsung di Sesohor Setiu Tourism Village (Perkampungan Pelancongan Setiu Sesohor) bersempena sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia yang diraikan pada 4 Februari setiap tahun.

Pengarah PKK, Zukiferee Ibrahim menegaskan bahawa pihaknya memberi sokongan penuh usaha UMT dalam mengangkat isu kelestarian khususnya pada peringkat pelaksana.

“Penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen UMT dalam menyokong pemuliharaan kawasan tanah lembap yang berfungsi sebagai habitat semula jadi, penyerap karbon serta benteng ekologi penting bagi kawasan pesisir pantai.

“Kita telah berjaya menanam pelbagai jenis pokok di kawasan Sesohor Setiu Village dan seramai 30 orang kakitangan PKK UMT juga turut melakukan aktiviti semaian pokok bakau yang antara lain berperanan signifikan dalam mengurangkan hakisan pantai, memelihara biodiversiti serta mengekalkan keseimbangan ekosistem marin dan daratan," katanya.


Warga PKK UMT sedang meletakkan anak pokok bakau dalam polybag.


 Tambahnya, PKK UMT turut menyumbangkan pokok-pokok hiasan serta bahan bacaan hasil kutipan sumbangan warga PKK untuk dijadikan koleksi perpustakaan mini di Sesohor Setiu Tourism Village bagi menyokong pembudayaan ilmu dan memberi manfaat kepada komuniti setempat serta pengunjung.

“Melalui penganjuran program ini, UMT berharap mesej kelestarian dapat disampaikan secara berterusan dan beretika sekali gus memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembangunan lestari, tanggungjawab sosial dan kesejahteraan alam sekitar," tambahnya. - KitaReporters/Kenyataan Media


Kenangan bergambar di Sesohor Setiu Village Center.

14
11
0
6
0
You will be interested