Pelajar SMK Seri Kota Puteri 2, Masai memulakan sesi pembentangan projek “Odour Free Compost System” di hadapan juri antarabangsa.

Empat pelajar daripada sebuah Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2, Masai, mencipta kejayaan membanggakan apabila merangkul Special Focus Prize for Presentation (Outstanding Category Presentation) dalam pertandingan Global Link Singapore 2025 yang berlangsung di Nanyang Technological University (NTU), Singapura pada 27 Julai 2025.
Mereka tampil dengan inovasi bertajuk “Odour Free Compost System”, iaitu satu sistem kompos bebas bau yang dibangunkan daripada hasil kolaborasi pintar bersama pihak industri tempatan, Emkey Precision and Engineering Services Sdn. Bhd. di Pasir Gudang. Analisis teknikal bagi produk tersebut turut dijalankan oleh UiTM Cawangan Johor.
Empat pelajar SMK Seri Kota Puteri 2, Masai mempamerkan semangat positif dan keyakinan menjelang giliran pembentangan inovasi.

Sebelum ke peringkat antarabangsa, projek ini telah diiktiraf pada peringkat tempatan apabila muncul Johan Pertandingan Inovasi Peringkat Daerah dan meraih Tempat Ketiga Peringkat Negeri Johor.
Pertandingan antarabangsa ini disertai 126 kumpulan dari tujuh buah negara, dan dinilai oleh barisan pakar akademik dari Singapura dan Jepun, sekali gus menjadikan kejayaan ini suatu pencapaian luar biasa bagi pelajar sekolah menengah dari Malaysia.
Kejayaan ini turut mendapat perhatian dan sokongan daripada Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor bagi kawasan Tanjung Surat.
Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti keberkesanan kerjasama antara sekolah, industri dan institusi pengajian tinggi dalam memperkasakan pendidikan inovatif.
Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) adalah inisiatif pendidikan di Johor yang bertujuan menyediakan pendidikan berkualiti. Inisiatif ini diilhamkan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor. - KitaReporters

Paparan skrin pengumuman anugerah membuktikan kejayaan kumpulan SRBJ sebagai penerima Special Focus Prize for Presentation dalam Global Link Singapore 2025.

Aznan Tamin.