"Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul” menggambarkan situasi yang sedang dihadapi Mohamad Syazriz Anaz Badrul, 21, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kini berjuang melawan kanser darah (leukemia).

Jom bantu Mohamad Syazriz Anaz Badrul.
Anaz, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dengan Kepujian, Semester 2 (A251), menetap di Inapan Siswa (INASIS) Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Beliau menerima berita mengejutkan itu selepas pemeriksaan doktor baru-baru ini yang mengesahkan tanda-tanda leukemia yang dikesan kira-kira seminggu lalu.
Pelajar ini memerlukan rawatan susulan termasuk kemoterapi dan prosedur pengambilan sampel sumsum tulang pada tulang pinggul yang dijadualkan pada Isnin, 25 Ogos 2025 ini di Hospital Ipoh.
Rawatan tersebut dijangka memerlukan kos yang tinggi dan memakan masa yang panjang.

Prof Madya Dr Rohani Abdullah.
Pengetua INASIS TNB, Prof Madya Dr Rohani Abdullah, berharap seluruh warga kampus, alumni dan masyarakat dapat berganding bahu membantu meringankan beban yang ditanggung oleh Anaz.
“Anaz seorang pelajar berdisiplin, periang dan aktif dalam aktiviti kampus. Berita ini amat mengejutkan kami semua. Kami menyeru semua pihak untuk membantu beliau sama ada melalui sumbangan kewangan mahupun doa,” katanya.
Menurut beliau, Jawatankuasa Kepimpinan Pelajar Siswa (JKPS) INASIS TNB telah menggerakkan usaha bantuan termasuk pengumpulan dana, hebahan maklumat dan sokongan moral bagi memastikan Anaz mendapat kekuatan semasa menjalani rawatan.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui:
- Maybank No. Akaun: 158266221116
- Nama Akaun: Nurul Shamira binti Badrul (Kakak Anaz)
Segala sumbangan akan disalurkan sepenuhnya bagi membiayai kos rawatan, pengangkutan dan keperluan lain sepanjang tempoh rawatan.
Dr Rohani turut menyeru alumni UUM, rakan-rakan seperjuangan Anaz dan masyarakat luar supaya segera menghulurkan bantuan agar pelajar ini dapat meneruskan rawatan tanpa dibebani masalah kewangan. - KitaReporters