Pensyarah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) mengunjungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit atau AKPK Alor Star pada 29 Julai 2024 lalu.
Menurut Pensyarah UUM, Prof Madya Dr Mohd Akram Dato' Dahaman @ Dahlan kunjungan ini diadakan bagi mendapatkan maklumat untuk mereka menjalankan Kajian Pemantapan Al-Gharimin Pengurusan Zakat yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Katanya, kajian yang akan dijalankan ini adalah antara inisiatif MAIPs untuk melihat sudut keluasan dan kemaslahatan pada agihan asnaf khususnya pada agihan asnaf al-gharimin.
“Melalui pengumpulan data perundingan daripada AKPK ini pastinya membantu kami untuk menyiapkan kajian yang akan dijalankan termasuk kajian mengenai keberhutangan rakyat Malaysia,” sambungnya lagi.
Moga kajian yang akan dijalankan ini dapat merealisasikan hasrat MAIPs khususnya dan membantu asnaf di negeri Perlis terutama.
Dr Mohd Akram Dahaman @ Dahlan (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada AKPK.
Tiga pensyarah lagi yang akan menjalankan kajian ini ialah Dr. Muhammad Fathullah Al Haq Muhamad Asni dari USM, Dr Hanis Hazwani Ahmad dari Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Ustaz Ahmad Yusairi Yusli (KUIPs).
AKPK ialah sebuah agensi yang ditubuhkan pada bulan April 2006 untuk membantu individu menguasai situasi kewangan mereka dan mencapai ketenangan minda hasil daripada penggunaan kredit secara bijak. - KitaReporters/Kenyataan Media