Oleh MUHAMMAD SANIY SAMSUDIN
Pelajar Warwick Universiti, UK
Keunikan seni dan budaya Malaysia kembali menyerikan bumi Britain apabila ratusan pelajar tanah air berhimpun memeriahkan Warisan 2025, acara budaya utama anjuran Warwick Malaysian Students Association atau Persatuan Pelajar Malaysia Warwick (WMSA) yang berlangsung di HMV Empire, Coventry pada 30 November 2025 lalu.

Penganjuran tahun 2025 ini memperlihat kesungguhan pelajar Malaysia mengangkat seni tempatan melalui pertandingan tarian dan muzik yang dipersembah dengan penuh profesionalisme serta identiti budaya tersendiri.
Acara berprestij itu turut dihadiri Atase Pendidikan Education Malaysia di London, Hasrul Husni; Pengarah Tourism Malaysia, Sulaiman Suip; dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia, Siti Syazalena Amir.
Penganjuran mendapat sokongan Yeo’s Europe, SOP Limited serta rakan makanan Warung by Evro Cafe, Thai Grass dan Adore Bakery, sekali gus memperkukuh jaringan komuniti Malaysia di United Kingdom.
Bertemakan Under the Moonlight, pertandingan tarian menyaksikan lima kumpulan mempersembah karya baharu berasaskan adaptasi tarian tradisional.



Kumpulan Tari Troupe dari University of Warwick muncul juara menerusi Terinai Ampaian Senja yang menampilkan kehalusan gerak terinai dalam penceritaan adat Melayu, manakala Suvarna dari Lancaster University pula meraih naib juara dengan karya Antu Leka Petang berinspirasikan Ngajat Iban, manakala Bristari dari University of Bristol berada di tempat ketiga melalui adaptasi Mengigol Sumundai dalam karya Tembuakar.
Dalam kategori muzik band, kumpulan Glora dari University of Sheffield diumumkan juara selepas mempersembah rangkaian lagu Sejati, Obsesi dan Hati Emas dengan susunan segar dan bertenaga.
Gema Bimasakti dari University of Warwick meraih tempat kedua, manakala Rentak Mancunian dari University of Manchester menduduki tempat ketiga.
Kredibiliti Warisan 2025 diperkukuh melalui pembabitan empat juri profesional iaitu Maziah Omar, koreografer dan peneraju seni tari negara; Aneesah Suhaidi, penari dan pemuzik gamelan; Alan Humberstone, tokoh pembangunan industri kreatif antarabangsa; serta penghibur serba boleh, Jeffri Ramli.



Wartawan KitaReporters yang membuat liputan, Muhammad Saniy Samsudin, berkata suasana sepanjang program amat mengesankan kerana memperlihat kekuatan jati diri pelajar Malaysia yang tetap teguh memartabatkan budaya tanah air meskipun berada jauh dari negara sendiri.
Katanya, acara seperti Warisan wajar diteruskan kerana bukan sahaja menjadi pentas menonjolkan bakat, malah mengukuhkan hubungan komuniti Malaysia di perantauan dan memperkenal keindahan seni tempatan kepada masyarakat antarabangsa.
Secara keseluruhan, Warisan 2025 sekali lagi membuktikan bahawa seni budaya Malaysia tetap utuh, hidup dan terus bersinar di pentas dunia, menjadi lambang kebanggaan anak Malaysia di mana sahaja mereka berada. - KitaReporters


