RAFIUDDIN Rohani menggunakan pengalaman yang dimiliki untuk memperkasa kredibiliti penganjuran seminar dalam talian. - Kredit foto: Koleksi peribadi Rafiuddin Rohani
PENGALAMAN selama sedekad berkecimpung dalam teras pembangunan pelajar, berjaya dimanfaatkan sepenuhnya oleh seorang pensyarah muda untuk tampil memperkasa kredibiliti dalam penganjuran seminar dalam talian secara berkala.
Memilih tema World of Engineering, Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan, Rafiuddin Rohani, 36, berjaya menganjur beberapa siri seminar yang sesuai dengan keadaan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pensyarah
Menurut anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu, seminar dalam talian amat penting bagi menggantikan lawatan penandaarasan yang tidak boleh dilaksanakan ketika ini.
"Seperti yang semua sedia maklum, situasi semasa negara tidak membenarkan penganjuran sebarang bengkel atau seminar secara bersemuka.
"Jadi, saya mengambil inisiatif untuk mengadakan program seminar secara dalam talian menggunakan teknologi yang ada. Alhamdulillah, pihak kami menerima sambutan dan maklum balas positif daripada peserta yang terlibat," kata beliau.
SALAH satu poster seminar yang dianjurkan oleh Rafiuddin untuk para pelajar di bawah seliaannya.
Menurut Rafiuddin, beberapa subbidang telah diketengahkan sepanjang berlangsungnya beberapa siri seminar ini.
Pertama, Seminar World of Engineering: Industrial Asset Lifecycle and Operations. Sesi ini disampaikan oleh Sarvin Silvarajo, Asset Integrity Specialist/Project Manager – Worldwide Operations, Horizon Terminals Limited (Emirates National Oil Company – ENOC).
Seminar ini mengupas pelbagai konteks. Antaranya Prescriptive Industry, Reliability Discipline, Robust Industry, Asset Integrity, Liquefied Natural Gas (LNG).
Kedua, World of Engineering: Innovation to Commercialization. Topik ini mengupas beberapa isu terpilih sebagai persediaan sebelum melangkah ke industri sebenar.
Lima topik utama diketengahkan; Idea Inovasi, Research & Development (R&D), Real Life in Industry, Job Seeker dan Softskills. Empat orang panel telah diundang beserta jemputan industri yang lain.
TEKNOLOGI yang ada dimanfaatkan sepenuhnya oleh pensyarah muda ini untuk terus mencurahkan ilmu buat anak didiknya.
Seminar ini menampilkan wakil dari NSF Engineering Sdn. Bhd., Shaifuddin Abdullah; E. Selvi Ezhenkowan (Welding Alloys (Far Easr) Sdn. Bhd.); Mohd Sairuzuan Mohd Rashid (Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn Bhd) dan Airol Md. Hashim (AMH Jaya Enterprise) dengan kendalian dua orang moderator dan ahli jawatankuasa terlibat.
Ketiga, perkongsian khusus berkaitan geran penyelidikan dan inovasi melalui World of Engineering: Research and Innovation Grant juga telah dilaksanakan baru-baru ini.
Menampilkan Norhayati Daud dari Sinaran Ilmu Learning and Consultancy, di mana beliau mendedahkan rahsia kejayaan menjuarai inovasi Kad ASK menerusi beberapa siri pertandingan yang juga disertai sendiri bersama Rafiuddin.
PERKONGSIAN khusus mengenai geran penyelidikan dan inovasi Kad ASK turut diadakan.
"Terdapat banyak lagi siri seminar telah dilaksanakan merangkumi pelbagai bidang. Ini sedikit sebanyak dapat mengisi keperluan pelajar dan pensyarah tentang realiti semasa di dalam industri.
"Kita doakan semoga negara kita segera bebas daripada wabak Covid-19 agar semua pihak dapat kembali menjalani kehidupan normal seperti sediakala.
"Sungguh, saya rindu suasana untuk bertemu dan mengajar pelajar secara bersemuka kerana menuntut ilmu dengan cara sedemikian mempunyai lebih keberkatan berbanding hanya bertemu di alam maya," tutur beliau. - KitaReporters
PENSYARAH muda ini berharap agar pandemik Covid-19 segera berakhir agar proses menuntut ilmu dapat berlangsung secara bersemuka berbanding hanya bertemu dalam alam maya.