UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sudah mula menerima pelajar yang kembali ke kampus untuk memulakan pembelajaran untuk sesi semester satu 2021/2022. Kepulangan pelajar ini ke kampus adalah selaras dengan pengumuman Kementarian Pengajian Tinggi (KPT) yang mana pelajar dibenarkan kembali ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) masing-masing bermula 15 Oktober dan secara berperingkat-peringkat.
Dianggarkan seramai 6,872 orang pelajar UIAM dari empat buah kampus iaitu di Gombak, Kuantan, Pagoh dan Kuala Lumpur akan mendaftar untuk kembali ke kampus-kampus UIAM adalah secara berperingkat-peringkat dan berfasa yang mana ia bermula 15 Oktober 2021.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan UIAM
Sepanjang tempoh pelajar pulang semula ke kampus secara berperingkat-peringkat, seramai 4,133 pelajar akan kembali ke kampus Gombak, manakala seramai 1,810 pelajar untuk kampus Kuantan. Untuk pelajar yang akan kembali ke kampus Pagoh adalah seramai 909 orang pelajar dan kampus Kuala Lumpur seramai 20 orang pelajar.
Untuk pelajar antarabangsa, setakat ini seramai 21 orang telah pun kembali ke kampus selepas selesai menjalani kuarantin wajib yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta lengkap dos vaksin di negara mereka.
Pelajar yang kembali ke kampus ini adalah mereka yang terdiri daripada pelajar yang mana pembelajaran mereka melibatkan aktiviti di dalam studio, makmal dan bengkel. Serta mereka yang berkeperluan khas seperti akses pembelajaran dalam talian di rumah mereka sangat terhad.
UIAM bersedia menerima kehadiran para pelajar dengan mematuhi segala arahan dan Operasi Prosedur Standard (SOP) yang di tetapkan oleh KKM, MKN dan KPT sendiri. Malah pihak UIAM sendiri melalui Majlis Sejahtera akan memantau situasi di dalam kampus supaya dalam keadaan selamat dan sejahtera serta ibu bapa tidak perlu risau dan khuatir akan keselamatan anak-anak mereka.
Menurut Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, sebagai langkah persediaan, setiap Mahallah (kolej kediaman) telah pun disanitasi malah setiap Mahallah juga sudah menyiapkan pelan perancangan yang teratur bagi memastikan pergerakan pelajar sentiasa dalam keadaan selamat.
"Ini termasuk juga, makmal-makmal, bengkel dan kelas-kelas juga dipastikan selamat dan mengikut segala pematuhan SOP yang ditetapkan. UIAM juga menyediakan Blok Mahallah Kuarantin sebagai persiapan dan langkah berjaga-jaga dalam memastikan suasana kampus kekal berada dalam zon hijaunya," ujarnya.
Sebelum para pelajar pulang ke kampus, mereka haruslah telah melengkapkan dos vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas dos kedua vaksin, selain keadaan kesihatan pelajar hendaklah sihat tanpa sebarang gejala dan ujian saringan kendiri RTK antigen hendaklah negatif.
Terdahulu UIAM telah pun mengeluarkan garis panduan kepada semua pelajar untuk mereka membuat persediaan dan persiapan untuk kembali pulang ke kampus pada 15 Oktober 2021.
Sementara itu sebanyak 27,044 kit ujian kendiri COVID-19 telah pun diterima dan diagihkan di setiap kampus-kampus UIAM. Untuk kampus Gombak termasuk kampus Kuala Lumpur sebanyak 17,187 kit diagihkan, kampus Kuantan sebanyak 4,483, kampus Gambang 3,954 dan kampus Pagoh sebanyak 1,420. - KitaReporters