Kampus & Pendidikan 25 Jul, 2023

Pesta konvo dan reunion alumni bukan setakat mengimbau! Peluang untuk bersama cipta kecemerlangan!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi.

Share this


Dr. Shamsul Anuar meletak bendera gimik pelancaran PESKON 2023.


Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) perlu kembali ke kampus untuk bersama-sama pelajar dan universiti ini untuk terus cipta kecemerlangan di samping kembalikan nostalgia mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif untuk mengadakan perhimpunan semula atau ‘reunion’ para alumni UUM di kampus ini amatlah dialu-alukan bagi mengimbau saat indah, pahit dan manis para alumni di samping menggalakkan alumni untuk kembali menyumbang kepada alma mater dari pelbagai aspek sama ada dalam bentuk kewangan mahupun pembangunan modal insan.



“Justeru, jaringan atau ‘networking’ yang sistematik hendaklah diwujudkan bagi membolehkan para alumni membantu meningkatkan daya saing universiti ini dalam pelbagai lapangan secara berkesan,” katanya ketika merasmikan Pesta Konvokesyen UUM atau lebih dikenali dengan nama PESKON malam tadi (24 Julai 2023) yang bertemakan ‘Alumni Homecoming’ atau ‘Back to Campus’ untuk ‘Kembalikan Nostalgia’. 


Dr. Shamsul Anuar bergambar kenangan dengan sekretariat PESKON 2023. 


Beliau yang juga Alumni Sarjana Pentadbiran Awam dan Doktor Falsafah Pengurusan Pembangunan universiti ini gembira apabila dijemput untuk merasmikan PESKON dan menjejakkan kaki ke kampus ini.

Katanya, suasana meriah dan harmoni antara pelajar dan alumni ini pastinya dapat memacu kecemerlangan UUM yang telah berusia 39 tahun ini.

Dr Shamsul Anuar yakin kemeriahan pesta konvokesyen yang terhenti akibat COVID-19 yang diadakan ini bukan sahaja dinantikan oleh para graduan dan keluarga malah masyarakat sekeliling juga tidak pastinya merindui.

Moga dengan kerjasama dan team work yang dijalankan oleh pelajar ini akan menarik minat masyarakat untuk bersama-sama menjayakan aktiviti yang telah dirancang oleh pihak urusetia.


Persembahan kebudayaan menyerikan majlis perasmian.


Pelajar UUM yang menyaksikan majlis pelancaran pada 24 Julai 2023.


Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang PESKON ini ialah perlawanan persahabatan bola sepak, futsal, sesi perkongsian ilmu antara alumni dan lain-lain lagi.

Manakala penganjuran aktiviti jualan dan persembahan kebudayaan juga diadakan bagi menghibur serta menarik perhatian pengunjung.


Prof Dr Mohd Foad Sakdan (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Dr Shamsul Anuar.


Sementara itu Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan ketika ditemui berkata, kehadiran alumni untuk merasmikan dan memeriahkan PESKON ini memberi peluang kepada mereka untuk mengenang kembali nostalgia ketika melanjutkan pengajian di universiti tersebut.

“Selain daripada menyertai aktiviti sepanjang PESKON ini pihak urusetia juga memberi peluang kepada pelajar untuk menjalankan perniagaan selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang memfokuskan keusahawanan dalam kalangan pelajar agar mereka terlibat secara langsung dalam bidang keusahawanan,” sambung beliau lagi.

Oleh itu pesta konvokesyen ini dilihat menjadi satu landasan terbaik kepada mereka untuk berjinak dalam dunia perniagaan dan menjadikan universiti ini sebagai ‘Universiti untuk Masyarakat’.

Majlis perasmian malam tadi juga diserikan dengan persembahan kebudayaan dari Pusat Budaya dan Seni UUM. - KitaReporters


16
12
0
12
0
You will be interested