Kampus & Pendidikan 23 Aug, 2023

Celaka kau Israel! Perjuangan cari ilmu anak-anak Palestin diteruskan! Meskipun sekolah dirobohkan!

@yati yazid
Pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia. Masih mewarnai dunia penulisan sehingga kini.

Share this

Tapak sekolah yang terletak di Kampung Jibb Al-Debb di kawasan pedalaman di Tebing Barat, yang dirobohkan oleh tentera aparteid Israel pada Mei 2023 lalu.


PERJUANGAN untuk mencari ilmu bagi anak-anak Palestin tidak terhenti meskipun berdepan pelbagai onak dan duri termasuklah tindakan pencerobohan dan perobohan bangunan yang menempatkan sekolah mereka, kira-kira tiga bulan lalu. 

Tarikh 21 Ogos 2023 pasti  menjadi detik yang akan diingati kanak-kanak Palestin  yang berusia lima dan enam tahun di Tebing Barat apabila mereka memulakan persekolahan untuk sesi baharu akademik dalam suasana yang agak berbeza iaitu dalam keadaan terbuka tanpa bumbung dan bukan di dalam sebuah bangunan.

Memetik laporan middleeastmonitor.com, semua urusan pembelajaran diteruskan berikutan sekolah mereka dirobohkan oleh tentera aparteid Israel pada Mei 2023 lalu.

Sekolah yang terletak di Kampung Jibb Al-Debb di kawasan pedalaman di Tebing Barat, yang menempatkan 45 murid itu memulakan sesi persekolahannya. 

Namun sangat membanggakan walaupun dalam keadaan penuh kekurangan di tapak sekolah lama, kesemua mereka tegak menyanyi lagi Palestin dengan penuh semangat.


Hari pertama sesi persekolahan diteruskan dalam keadaan terbuka selepas sekolah lama diceroboh dan dirobohkan.

Ia merupakan sebuah daripada 17 sekolah yang kebanyakannya telah dirobohkan atau diancam untuk dirobohkan.

Walaupun kesemua 17 sekolah berkenaan dibina oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) – kebanyakannya dengan pembiayaan daripada Kesatuan Eropah (EU) - namun pihak tentera Zionis tetap meneruskan tindakan merobohkan dengan alasan tersendiri.

Sementara itu, menurut Guru Besar sekolah berkenaan, Shireen Abu Taha, situasi yang dialami murid-murid dan tenaga pengajar adalah pengalaman yang sukar dilupakan.

Bagaimanapun pihaknya berkeras untuk meneruskan sesi persekolahan demi masa depan anak-anak Palestin.

“Proses pembelajaran tidak boleh dihentikan walaupun dalam keadaan sedemikian (tiada bangunan sekolah)," katanya.

Malah Shireen berkata, kemungkinan sesi pembelajaran akan dipindahkan di Sekolah Hitten yang terletak kira-kira dua kilometer daripada perkampungan berkenaan. 

Bagaimanapun katanya, masalah yang akan dihadapi kini adalah tiada pengangkutan yang disediakan bagi urusan pergi dan balik ke sekolah berkenaan.


Hari pertama sesi persekolah diteruskan dengan penuh semangat oleh anak-anak Palestin di tapak sekolah lama.


Pada Mei 2023 lalu, tentera aparteid Israel merobohkan sekolah dengan alasan isu keselamatan sehingga mencetus kemarahan masyarakat antarabangsa yang telah membiayai keseluruhan kos pembinaan sekolah berkenaan sebelum ini.

Pertama kali sekolah berkenaan dirobohkan pada 2018, namun dibina semula hasil sumbangan masyarakat dunia dan kebanyakan peruntukan dibiayai EU.

Namun pada Januari tahun ini, Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui sekumpulan pakar PBB meminta tindakan untuk menghentikan perobohan ‘sistematik dan sengaja’ oleh Zionis Israel terhadap struktur Palestin. - KitaReporters


Pihak sekolah terpaksa menempatkan murid-murid di khemah bagi meneruskan sesi persekolahan.

9
13
0
16
0
You will be interested