Oleh DR IZAN JAAFAR
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Isu pencemaran sampah sarap di pantai semakin mendapat perhatian masyarakat, khususnya di negeri Terengganu yang terkenal dengan keindahan pantai serta kekayaan ekosistem marin.
Dalam menangani cabaran ini, peranan badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat semakin menonjol sebagai pemacu utama usaha pembersihan pantai, pemupukan kesedaran awam dan pemerkasaan aktiviti penjagaan pantai secara berterusan.


Dalam kebanyakan aktiviti pembersihan pantai, sampah yang paling kerap ditemui ialah plastik sekali guna seperti botol minuman, pembungkus makanan, polisterin, straw, puntung rokok serta sisa perikanan seperti tali dan jaring.
Sifat plastik yang ringan dan mudah terapung menyebabkan bahan ini mudah dibawa oleh angin dan arus laut, lalu terkumpul di kawasan pesisir pantai, khususnya selepas musim monsun.
Apabila terdedah berterusan kepada cahaya matahari, ombak dan geseran, plastik bersaiz besar atau makroplastik akan terurai dan pecah menjadi zarah mikroplastik yang sangat kecil.
Zarah ini sukar dikesan dengan mata kasar, namun mudah memasuki ekosistem laut dan daratan serta rantaian makanan, sekali gus memberi kesan jangka panjang terhadap hidupan marin dan kesihatan manusia
NGO sebagai barisan hadapan di lapangan
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai NGO alam sekitar telah tampil sebagai barisan hadapan dalam usaha menangani pencemaran pantai di Terengganu.
Antaranya ialah Geng Plastik Ija (GPI), Trash Heroes Batu Buruk, Ecoswed Initiatives, WWF Terengganu, Jom Bersih Pantai serta pelbagai inisiatif komuniti lain yang digerakkan secara sukarela dan berkala.
Aktiviti pembersihan pantai yang dijalankan oleh NGO ini melibatkan penglibatan komuniti setempat, pelajar sekolah dan universiti, sektor swasta serta orang awam.
Usaha kolektif ini membuktikan komitmen tinggi masyarakat dalam memelihara kebersihan pantai, walaupun sering berdepan kekangan cuaca, logistik dan sumber kewangan.

Data lapangan NGO membuktikan skala sebenar pencemaran
Data lapangan yang direkodkan oleh NGO tempatan Geng Plastik Ija (GPI) memberikan gambaran jelas tentang skala sebenar pencemaran pantai di Terengganu.
Berdasarkan rekod aktiviti pembersihan, pada tahun 2025 sahaja, GPI telah melaksanakan lebih 150 program pembersihan pantai di pelbagai lokasi pesisir negeri ini dengan penglibatan 9,159 orang sukarelawan.
Melalui usaha tersebut, sebanyak 36.1 tan sampah berjaya dikutip dalam tempoh setahun.
Secara kumulatif, jumlah kutipan sampah pantai yang direkodkan oleh GPI dari tahun 2020 sehingga 2025 mencecah lebih 150 tan dengan jumlah 724 program, sekali gus menunjukkan bahawa pencemaran pantai bukan isu terpencil atau bermusim semata-mata, sebaliknya berlaku secara berulang dan berterusan.
Analisis komposisi sampah yang dikutip turut mendapati bahawa kira-kira 80 peratus merupakan sampah bawaan air, iaitu sisa yang dibawa oleh sungai dan arus laut, khususnya selepas Monsun Timur Laut.
Dapatan ini mengukuhkan hakikat bahawa pencemaran pantai berkait rapat dengan pengurusan sisa pepejal dan sistem saliran di kawasan daratan, bukan hanya berpunca daripada tingkah laku pengunjung pantai.
Pembersihan pantai bukan penyelesaian tunggal
Walaupun aktiviti pembersihan pantai amat penting, pengalaman di lapangan menunjukkan bahawa pantai yang dibersihkan boleh kembali tercemar dalam tempoh yang singkat.
Keadaan ini menggambarkan bahawa pembersihan hanyalah langkah jangka pendek yang perlu disokong oleh usaha pencegahan dan perubahan tingkah laku masyarakat.
Dalam konteks ini, peranan NGO tidak terhad kepada pembersihan semata-mata, sebaliknya turut bertindak sebagai agen pendidikan dan perubahan sosial.
Pelbagai program kesedaran alam sekitar, kempen pengurangan penggunaan plastik sekali guna serta aktiviti pendidikan lapangan yang dianjurkan oleh NGO telah membantu meningkatkan kefahaman masyarakat tentang punca pencemaran pantai serta kesannya terhadap ekosistem marin.

Memupuk kesedaran dan memperkasa komuniti
Usaha memupuk kesedaran awam merupakan elemen penting dalam memastikan penjagaan pantai dapat dilaksanakan secara mampan.
Melalui pendekatan berasaskan komuniti, NGO berjaya menggalakkan penglibatan aktif masyarakat setempat, khususnya golongan belia dan pelajar, dalam aktiviti penjagaan pantai.
Penglibatan ini bukan sahaja membina rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar, malah membantu membentuk budaya penjagaan pantai sebagai amalan bersama, bukan sekadar aktiviti sukarela bermusim.
Kesedaran yang dibina secara berterusan ini penting bagi memastikan perubahan tingkah laku dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
Cabaran dan keperluan sokongan bersepadu
Walaupun peranan NGO sangat signifikan, usaha mereka tidak seharusnya dilihat sebagai pengganti kepada sistem pengurusan pantai yang menyeluruh.
Panjang garis pantai Terengganu, kekangan sumber manusia serta kos penyelenggaraan yang tinggi menjadikan pengurusan pantai satu cabaran besar kepada pihak berkuasa tempatan.
Oleh itu, usaha NGO perlu disokong melalui kerjasama bersepadu yang melibatkan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, industri, institusi pendidikan dan komuniti.
Pengukuhan pengurusan sisa pada peringkat huluan, pengurangan penggunaan plastik sekali guna, serta pemantauan dan penyelenggaraan pantai secara konsisten merupakan antara langkah penting yang perlu diberi perhatian.

Kesimpulan
NGO dan komuniti setempat telah membuktikan bahawa mereka merupakan tunjang penting dalam memastikan pantai Terengganu terus terpelihara.
Namun, penjagaan pantai tidak boleh bergantung kepada usaha sukarelawan semata-mata. Ia memerlukan komitmen kolektif dan sokongan sistemik agar usaha pembersihan, pemupukan kesedaran dan pemerkasaan komuniti dapat memberi kesan jangka panjang.
Pantai yang bersih bukan sahaja mencerminkan keindahan alam semula jadi, tetapi juga tahap kesedaran, tanggungjawab dan kematangan masyarakat dalam menjaga warisan bersama untuk generasi akan datang.
Dr. Izan Jaafar ialah Pensyarah Kanan, Program Kimia Analisis dan Persekitaran di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Artikel ini adalah pandangan penulis.
