

Bagai sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah perumpamaan nasib yang menimpa lebih 200 pelajar dan guru-guru Madrasah Al-Aminiah Bertam (MAAB), Kepala Batas, Seberang Perai Utara.
Madrasah yang menempatkan Pratahfiz al-Quran, Tahfiz Akademik, Tahfiz Sepenuh Masa, Tahfiz Vokasional dan Tahfiz Fast Trak memberi peluang pembelajaran kepada pelajar seawal usia 4, 5 dan 6 tahun sehinggalah 17 tahun ke atas.
Pengerusi madrasah, Ustaz Mohd Fazrol Hakimi Md Radzi ketika ditemui berkata, madrasah ini telah mula bertapak pada tahun 2016 dengan sewaan 9 pintu yang berjumlah RM18,000 sebulan.

"Pada peringkat awal sumber kewangan adalah stabil dan kami berjaya menyediakan pelbagai kemudahan kepada 230 orang pelajar dan 20 guru serta staf merangkumi sekolah rendah dan menengah.
"Namun begitu selepas 2024 situasi semakin meruncing apabila blok yang menempatkan kelas semakin mengecil apabila kini cuma 3 pintu sahaja boleh digunakan setelah 6 pintu lagi dijual oleh pemiliknya dan pihak madrasah mulai berada dalam dilema.
"Dengan baki 3 pintu ia tidak mampu menampung jumlah pelajar dan staf sedia ada, apalagi kekangan kewangan yang semakin merosot dan meruncing," ujar beliau yang juga merupakan mudir madrasah MAAB.
Buat masa ini Pratahfiz al-Quran menyediakan program pendidikan awal ke sekolah dengan aliran agama dan tahfiz bagi usia 4, 5 serta 6 tahun. Manakala bagi Tahfiz Akademik pula adalah bagi pelajar berusia 7 hingga 12 tahun.
Tiga teras utama pendidikan Tahfiz Akademik ialah akademik mengikut sukatan mata pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Diniah iaitu pengajian subjek agama (KAFA), termasuk kitab-kitab pondok.
Bagi pengajian tahfiz pula ia bukan sekadar hafazan tetapi meliputi pecahan tahriri dan syafawi.


Madrasah MAAB juga menyediakan Tahfiz Sepenuh Masa serta Tahfiz Vokasional bagi pelajar berusia 10, 11 dan 12 tahun dengan 4 teras utama pendidikan.
Ia merangkumi pengajian akademik dengan subjek Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Bagi Diniah pula disediakan pengajian kitab pondok, tulisan jawi, tajwid dan Bahasa Arab.
Manakala tahfiz pula merangkumi tahriri dan syafawi (Syahadah 30 juzuk Al-Quran) manakala vokasional meliputi pengajian reka bentuk dan teknologi (khusus untuk pelajar berusia 12 tahun).

Kelas pembelajaran tahfiz akademik di tingkat satu bangunan.

Tahfiz transit merupakan sebahagian lagi program khusus bagi pelajar berusia 7 hingga 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan dengan pengajian kelas al-Quran dan hafazan, penjagaan dan program semasa cuti sekolah.
Makanan turut disediakan sebelum dan semasa pulang dari sekolah.
Selain itu, madrasah MAAB melalui Tahfiz Akademik turut membuka peluang hanya kepada pelajar berusia 13 tahun termasuk pembelajaran akademik peringkat SPM dan STAM serta tahfiz dan diniah.
Tahfiz Fast Trak dikhususkan untuk pelajar berusia 17 tahun keatas dan terbuka kepada pelajar lepasan maahad tahfiz, pondok dan calon persendirian yang berminat untuk mengambil SPM.
Pelbagai kemudahan yang disediakan termasuk asrama, dobi, kelab bola sepak, seni silat Gayong Pusaka Malaysia, kelab kapal layar, Motor Cross Al-Aminiah Bertam, kelab memanah, kelab usahawan, bengkel kemahiran elektrik, pastri dan inovasi.

Walaupun dalam kekangan kewangan yang sedang menghantui pihak pengurusan madrasah, pelbagai program dan aktiviti masih dijalankan seperti direncanakan.
Bagi memastikan nasib semua pelajar dan staf terbela pelbagai ikhtiar telah dan sedang diusahakan agar penempatan baharu siap sebelum awal September 2025.
"Kami perlu berpindah selewat-lewatnya awal September ini kerana bagunan sedia ada telah dijual oleh pemiliknya.
"Setia Fontaines, Bandar Bertam, Kepala Batas telah berjaya diperolehi untuk dijadikan madrasah bagi semua pelajar dan staf sedia ada.
"Namun begitu kami masih memerlukan sekitar RM250,000 lagi bagi kerja-kerja pengubahsuaian kelas, asrama dan pendawaian elektrik secepat mungkin.


Sebelum ini pelbagai pihak yang peduli dan prihatin telah menghulurkan sumbangan termasuklah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan ADUN Bertam, Kepala Batas serta orang perseorangan.
ADUN kawasan Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali tidak ketinggalan turut sama menemui pihak pentadbiran pada 22 Ogos 2025 lalu dan menyalurkan sumbangan.
Sehubungan itu, orang ramai dan umat Islam yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan mereka ke Tabung Pembangunan Madrasah Al-Aminiah Bertam melalui Akaun Bank Islam (M) Berhad bernombor 07043011037469.
Pengerusi atau Mudir MAAB, Ustaz Mohd Fazrol Hakimi boleh dihubungi melalui nombor telefon 0195694875 atau 0196583037. - KitaReporters
