Kampus & Pendidikan 30 Oct, 2024

Pendidikan Bahasa Etnik! Belajar bahasa Kadazandusun, Iban dan Semai di UPSI! Yayasan Bank Rakyat taja!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Pelajar Program Saluran Bitara membuat pendaftaran di Kolej Za’ba, Kampus Sultan Azlan Shah.


UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, menerima kemasukan pelajar baharu Program Saluran Bitara di Kolej Za’ba, Kampus Sultan Azlan Shah, pada 20 Oktober 2024.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPSI, Profesor Dr Abdul Rahim Razalli, berkata 111 pelajar yang mendaftar adalah daripada 47 pelajar yang mengambil jurusan Bahasa Etnik iaitu Kadazandusun, Iban dan Semai.

Menurutnya, manakala 44 yang lain mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu, 17 lagi Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan tiga pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di bawah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE).

“Ini adalah kali pertama diadakan pengambilan Saluran Bitara di bawah UPSI Holdings dan pelajar mula menjalani minggu orientasi bermula Isnin sehingga Rabu dan sesi kuliah bermula Khamis 24 Oktober.

“Mereka  mendaftar dan menghuni di Kolej Za’ba, Kampus Sultan Azlan Shah bersama-sama pelajar ijazah pertama yang lain,” katanya.


Petugas menyantuni dengan baik dan membantu pelajar Program Saluran Bitara membuat semakan pendaftaran.


Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa dan Komuniksi (FBK), Prof Madya Dr Mazura @ Mastura Muhammad, berkata 30  pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Etnik Dengan Kepujian yang  ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Bank Rakyat. 

Menurutnya, sebelum itu FBK hanya menawarkan program pengajian Bahasa Kadazan Dusun dan Iban sebagai kursus minor yang kebanyakannya diikuti pelajar dari Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, baru-baru ini FBK menerima sumbangan RM7.5 juta daripada Yayasan Bank Rakyat sebagai usaha menggerakkan program pengajian Bahasa Etnik dan bertujuan untuk kemampanan bahasa etnik.


Pelajar Program Saluran Bitara merakamkan kenangan selepas mendaftar.


Ketika menyampaikan sumbangan itu di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah baru-baru ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata pembiayaan pendidikan itu khusus bagi mahasiswa yang mengambil pengajian bahasa etnik Kadazan Dusun, Iban dan Semai.

Beliau berharap ia dapat memperlihat identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang berlatarbelakangkan bahasa yang berbeza. - KitaReporters


Petugas merakam kenangan selepas mendaftar pelajar Program Saluran Bitara.

10
15
0
10
0
You will be interested