Uwais Mohamad Sofi
Uwais Mohamad Sofi, 18, yang bekerja sambilan di kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis, Kangar, tidak menyangka akan menerima kunjungan istimewa daripada Ketua Jabatan Syariah dari Fakulti Pengajian Islam (FPI), Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Ahmad Ismail.
“Kehadiran mereka adalah untuk menyerahkan surat tawaran pengajian bagi kemasukan sesi September 2024/2025,” katanya ketika ditemui.
Anak sulung daripada empat beradik ini sebelum ini telah memaklumkan kepada pihak FPI KUIPs bahawa beliau tidak dapat hadir ke Hari Terbuka pada 22 dan 23 Ogos 2024 kerana terikat dengan kerja sambilan di kantin sekolah tersebut.
Namun, Uwais tidak menyangka pihak universiti sendiri yang akan hadir ke tempat kerjanya untuk menyerahkan surat tawaran, memandangkan beliau bekerja dari awal pagi sehingga jam tiga petang setiap hari.
“Alhamdulillah, saya telah menerima surat tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam Diploma Syariah selama dua tahun enam bulan di KUIPs,” katanya lagi.
Beliau berharap agar cita-citanya untuk menjadi seorang ustaz dapat direalisasikan dengan peluang yang diberikan oleh universiti tersebut.
Ahmad Ismail (tengah) menyerahkan surat tawaran melanjutkan pengajian kepada Uwais (kanan) di kantin SK Seri Perlis, Kangar.
Sementara itu, Ketua Jabatan Syariah FPI, Ahmad Ismail, menyatakan bahawa pihaknya ada menghubungi Uwais untuk memaklumkan mengenai Hari Terbuka yang dianjurkan selama dua hari, namun pelajar ini melahirkan rasa kecewa kerana tidak dapat hadir.
“Setelah berbincang, kami mengambil keputusan untuk hadir ke tempat kerjanya dan menyerahkan surat tawaran pengajian,” tambahnya.
Dalam pada itu, pengusaha dan pekerja kantin di sekolah tersebut turut melahirkan rasa gembira atas kejayaan Uwais menyambung pengajiannya di KUIPs.
Turut hadir dari FPI ialah Atif Che Adnan, Rohana Zainol dan Noor Aini Busu. - KitaReporters/Kenyataan Media
Tags: