Kampus & Pendidikan 28 Jul, 2024

Sirih pulang ke gagang! Dr Mansor Salleh kongsi pengalaman, idea pada program Bual@IMPAK di UiTM!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: [email protected]

Share this


Bual@IMPAK Siri Khas Adiwangsa yang julung kali diadakan telah menampilkan tokoh hebat iaitu mantan Pengarah Institut Teknologi MARA (ITM) ke-5 iaitu Profesor Dato Dr. Mohd Mansor Salleh yang sudi berkongsi pengalaman, idea serta memberikan inspirasi sepanjang beliau memacu kecemerlangan ITM yang bermula sejak tahun 1986. 

Siri Khas ini adalah sebahagian daripada kempen Sambutan 25 Tahun Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai sebuah universiti.

Sesi yang berlangsung hampir dua jam pada 24 Julai 2024 ini telah dikendalikan oleh dua moderator berwibawa, iaitu Profesor Datuk Dr. Mizan Hitam, Penolong Naib Canselor ILD; dan Pengarah IMPAK, Dr. Khairudin Murad. 

Siri khas ini dianjurkan oleh Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak dan Galeri Tun Abdul Razak.



Dr. Mohd Mansor, 80 tahun, adalah pelajar Malaysia pertama yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah dalam jurusan kaji logam di Universiti Manchester, England pada tahun 1975. 

Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Malaya dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Dekan di Fakulti Kejuruteraan. 

Pada tahun 1984, beliau dilantik sebagai Ketua Eksekutif di Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) selama 2 tahun. 

Seterusnya, Prof Dato’ Dr. Mansor menjawat jawatan Pengarah ITM bermula pada tahun 1986 hingga 1993.

Dalam dasar pentadbiran beliau di ITM selama 7 tahun, beliau banyak menerapkan nilai-nilai Islam dan menggalakkan kerjasama dalam kumpulan, penyertaan individu, keadilan dari segala segi dan membuat sebarang keputusan secara musyawarah. 

Bagi mencapai hasrat ini langkah utama yang beliau lakukan adalah menekankan disiplin diri para pelajar, kerana beliau yakin hanya dengan disiplin sahaja dapat membentuk peribadi yang baik untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam akademik dan kehidupan mereka pada masa hadapan. 

Antara transformasi yang diperkenal oleh beliau termasuklah pembangunan kampus-kampus cawangan ITM di seluruh negara seperti di Segamat, Jengka, Machang, Seri Manjung dan lain-lain. 

Beliau juga memulakan usaha pembangunan Masjid ITM di kampus Shah Alam serta kemudahan lain seperti kompleks sukan, stadium, dan kolam renang, yang mana beliau juga aktif terlibat dalam aktiviti sukan bersama pelajar dan staf.

Majlis ini turut dihadiri Lembaga Pengarah UiTM, Mustaffa Kamil Ayub, serta sahabat-sahabat lama Dr Mohd Mansor antaranya Mustaza Ahmad, mantan Pengarah Pusat Sukan; Rohany A Rahman wakil NGO; Profesor Dr. Md. Said Zainol; dan beberapa tetamu lain.



Bagaikan sirih pulang ke gagang, Dr Mohd Mansor berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapinya sebagai peneraju institusi ini sejak tahun 1997. 

Beliau berharap perkongsian ini dapat menyuntik inspirasi dan pedoman kepada barisan kepimpinan serta warga UiTM hari ini dalam mendepani cabaran masa hadapan. 

Tuntasnya, nilai jati diri serta sifat-sifat murni perlu disematkan kepada anak bangsa untuk terus cemerlang agar menjadi tenaga profesional yang berakhlak mulia dan seterusnya dapat menabur bakti kepada agama, nusa dan bangsa. - KitaReporters/Kenyataan Media

11
15
0
10
0
You will be interested