Kampus & Pendidikan 25 Feb, 2024

Kem Khalifah Muda! Usaha atasi ketagihan bahan lucah dalam kalangan pelajar yang membimbangkan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


KETAGIHAN pornografi dalam kalangan remaja di Malaysia ini amat membimbangkan. 

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2021 mendapati, 75 peratus anak-anak muda belasan tahun di negara ini dikesan pernah menonton video atau melihat gambar lucah. Kebanyakan yang terbabit adalah remaja lelaki dan terjebak seawal persekolahan menengah.

Lebih membimbangkan, remaja ini dikesan melakukan aktiviti tidak bermoral itu apabila diberi peluang menggunakan internet di rumah secara bersendirian. Hasilnya, mereka mengalami ketagihan sehingga pernah melakukan seks bebas dan mendapat jangkitan penyakit kelamin seperti human immunodeficiency virus (HIV) dan sifilis.

Kebanyakan remaja menonton video lucah ketika tiada pemantauan ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja dan tiada di rumah. Akibat ketagihan itu, mereka mengamalkan aktiviti seks bebas apabila melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. 

Seramai 120 peserta yang gembira mendapat sijil penyertaan bergambar kenangan bersama trainer dan fasilator Kem Khalifah Muda di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Menyedari bahaya fenomena itu dan bagi menangani perkara itu menjadi lebih kritikal, Fast Response Training & Consultancy terpanggil untuk menganjurkan Kem Khalifah Muda (KKM) 4.0 selama empat hari di Masjid al-Hasanah, Bandar Baru Bangi Selangor. Ia disertai 120 pelajar di sekitar komuniti tempatan dan di luar daerah itu.

Pengasasnya, Ustaz Aiman Khair Abdul Rahman berkata, modul KKM 4.0 dibahagi kepada empat fokus utama iaitu ibadat yang memberi tumpuan kesempurnaan solat, akhlak membabitkan hubungan anak dan ibu bapa, selain anak dan adik beradik manakala masalah sosial bagi menangani isu ketagihan bahan lucah.    

Beliau berkata, pengaruh bahan lucah jika dibiarkan tanpa tegahan akan menjadikan seseorang remaja itu ketagih, sama seperti merokok. 

Jika mereka tidak mendapatkan bahan atau menonton video lucah, mereka akan rasa seperti satu kekosongan dan geligah tanpa menyedari perkara itu akan merosakkan masa depan mereka. 


Ustaz Aiman Khair Abdul Rahman


"Saya akui sukar untuk mengawal tabiat mendapatkan atau menonton video lucah kerana ia mudah diperolehi tanpa kawalan apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan, buka sahaja komputer atau telefon bimbit, mereka sudah boleh menonton sesuka hati.

"Tapi, bahan atau video lucah boleh menyebabkan remaja ketagih apatah lagi mereka mempunyai sifat ingin tahu. Jadi, ada yang mencuba bersama teman wanita atau jika ada kesempatan dalam kumpulan, mereka sanggup melakukan perbuatan rogol tanpa menyedari risiko masa depan mereka.

"Ibu bapa perlu memantau perbuatan anak-anak, buat pemeriksaan sama ada beg atau bilik untuk memastikan mereka tidak menonton atau menyimpan bahan lucah. Jangan gunakan alasan sibuk dengan tugas harian untuk mengelak dari memantau aktiviti anak-anak mereka," kata Ustaz Aiman Khair.     


Peserta Kem Khalifah Muda mengadakan sesi percambahan idea dalam kumpulan sambil dibimbing oleh fasilator.


Menurutnya, melalui KKM 4.0, mereka menyediakan platform untuk mengisi cuti persekolahan pelajar dengan perkara berfaedah daripada duduk di rumah bermain game atau telefon bimbit dari pagi hingga malam. 

Di kem itu mereka menyediakan game tapi ia lebih kepada riadah yang mencambah pemikiran ke arah yang positif.

"Ini KKM yang keempat dan saya berpuas hati kerana dapat memenuhi masa anak-anak dengan perkara bermanfaat. Cuma untuk memastikan selepas balik rumah mereka terus mengamalkan apa yang diajar, kami meminta bantuan ibu bapa untuk memantau dan memastikan mereka terus istiqamah dengan amalan baik.

"Selepas sesi pengenalan diri (ice-breaking) pada hari pertama, KKM memberi fokus kepada ibadah pada hari kedua yang banyak menyentuh mengenai solat terutama bagi membetulkan beberapa kesalahan dan kekeliruan yang dilakukan peserta kerana ada belajar solat melalui kawan-kawan dan mereka tidak mendapat penerangan khusus atau praktikal dari pihak yang sepatutnya seperti ibu bapa atau ustaz. 

"Kami menggunakan teknik psikologi dan perbincangan. Dan, mereka bebas bertanya sebarang soalan walaupun kadangkala soalan itu nampak begitu naif tapi ia perlu dijawab. Mereka juga boleh melakar apa kesilapan yang mereka nampak ketika orang lebih tua bersolat," kata Ustaz Aiman Khair lagi.


Peserta perempuan menunjukkan lakaran yang mereka lukis mengenai kesalahan dalam solat.


Ustaz Aiman Khair yang juga juara Dai Muda Yadim (DMY) 2021 mengakui banyak menggunakan pendekatan "friendly"  dan santai untuk berbincang jika membabitkan isu lebih mendalam. 

Contoh pada tahiyat akhir, ada berkata hanya baca dalam hati padahal ia sepatutnya dibaca yang mereka boleh mendengar. Begitu juga bacaan Ibrahimiyah, ada kata perlu baca sampai habis walaupun memadai jika membaca yang ringkas.    

Ustaz Aiman yang berasal dari Sabak Bernam dan lulusan syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir mengakui, pelajar amat teruja dalam sesi luar yang membabitkan aktiviti memanah dan explorace kerana ia bukan sekadar untuk berseronok tapi menyampaikan ilmu seperti cara tayamum jika tiada air. 

Peserta lelaki gembira dan ceria selepas menyiapkan lakaran mereka mengenai perbuatan yang dilakukan ketika bersolat.


"Kami memberi fokus dalam modul KKM ini kerana ia masalah kritikal remaja hari ini kerana kebanyakan anak-anak hari ini hanya mengikut tapi tak faham apa yang dia buat. Dan, lebih bahaya jika mereka tidak berguru tapi berguru dengan ustaz dalam YouTube atau media sosial yang kadangkala boleh dipertikai.

"Selain bahan lucah, masalah sosial membabitkan adab semakin parah dalam kalangan remaja, dalam istilah sekarang dipanggil "emotional lost". Saya perhatikan, kadangkala bila kita beri tunjuk ajar, mereka tidak beri maklum balas atau "ignore" tapi mereka menyembunyikan kesalahan mereka.

"Di depan kita, mereka nampak seperti tiada apa-apa tapi di belakang terutama bersama rakan-rakan  sebaya, perbuatan dan tingkah laku mereka berubah. 

"Ini berlaku kerana terlalu lama dengan telefon bimbit. Contohnya jika setiap hari main game dan sebut kill, kill, kill, perkataan itu seolah-olah tiada memberi makna apa-apa tanpa menyedari ia pengaruh halus yang boleh merosak minda mereka. 

"Jadi, kami maklumkan kepada mereka, boleh bermain game tapi cari game yang bermanfaat, jangan bermain lebih 20 minit tapi sebaiknya berehat sekejap dan elak terlalu emosi ketika bermain kerana ia boleh memberi pengaruh negatif dalam kehidupan seharian mereka," kata Ustaz Aiman Khair.


Aktiviti memanah memberi pengalaman baharu kepada peserta Kem Khalifah Muda 4.0 yang dibimbing oleh jurulatih berpengalaman.


Katanya, hari keempat, KKM menjemput Brother Firdaus untuk sesi psikologi pelajar selain DMY Farhira yang juga peserta peringkat akhir Dai Muda Yadim 2023. 

Kehadiran mereka, sedikit sebanyak menyuntik semangat kepada peserta kerana mereka adalah ikon remaja dan bukan mudah untuk mendapatkan ilmu mereka.  

"Keseluruhannya, saya berpuas hati dengan perjalanan KKM 4.0 terutama kerjasama baik pengurusan Masjid Al-Hasanah yang menyediakan tempat untuk mengadakan program ini selain makan minum sepanjang empat hari peserta berkumpul di sini.

"KKM 4.0 mempunyai keistimewaan kerana ia menyentuh keseluruhan aspek pendidikan, konsep yang lebih kepada aktiviti, bukan ceramah. 

"Selepas ini, kami akan membuat "post-mortem" untuk menambah baik jika ada kekurangan di mana-mana dan kami juga memerlukan maklum balas ibu bapa serta peserta supaya program akan datang dijalankan lebih baik," kata Ustaz Aiman Khair. - KitaReporters


Inilah hasil daripada pembelajaran tayamum yang dilakukan ketika tiada sumber air untuk berwuduk.

 

19
8
0
22
0
You will be interested