UNIVERSITI Sains Islam
Malaysia (USIM) rangkul Anugerah Sumbangsih kategori Penglibatan
Kesukarelawanan Kemanusiaan dari Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction).
Anugerah yang diperoleh hasil penglibatan mahasiswa USIM
bersama NGO pembangunan belia melalui program Gap Year Volunteerism selama dua
tahun serta beberapa program pembangunan belia yang lain seperti Special Iftar
For Ummah (SIFU) semasa Ramadan lepas dan Qurban Care For Ummah (QC4U) sempena
Hari Raya Korban baru-baru ini.
Program Gap Year Volunteerism 3.0 dan 4.0 yang dijalankan pada tahun 2020 dan 2021 itu merupakan saranan Kementerian Pengajian Tinggi yang hanya dilaksanakan di USIM melalui kerjasama rakan strategik MyFundAction.
Seramai 10 orang pelajar telah terpilih bagi mengikuti program ‘jeda pengajian’ selama setahun ini bagi mengikuti aktiviti kemanusiaan dan kesukarelawanan melalui projek-projek di dalam dan luar negara bersama NGO terbabit.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kesukarelawanan
Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor
Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM menzahirkan rasa syukur atas penganugerahan
ini dan berharap agar jalinan strategik ini akan berterusan demi meningkatkan
kemahiran insaniah para pelajar USIM dan seterusnya meningkatkan tahap
kebolehpasaran mahasiswa USIM.
Beliau berkata lagi, pembangunan insaniah para pelajar tidak memadai dengan usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh pihak universiti semata-mata walaupun telah diwujudkan program kokurikulum.
Justeru, kerjasama dari pihak industri yang bertepatan dan pakar dalam bidang pembangunan belia harus digembleng bagi memberi persediaan awal kepada para pelajar sebelum menghadapi ‘dunia sebenar’ setelah tamat pembelajaran kelak”.
“Inisiatif ini telah dipikul oleh MyFundAction dalam membangunkan kemahiran insaniah dalam diri setiap pelajar sama ada melalui projek-projek mereka atau melalui penyertaan sebagai sukarelawan YOSH (Youth of Strength and Happiness) yang akan memdedahkan mereka kepada realiti kehidupan selepas tamat pengajian,” katanya lagi, yang turut hadir ke Majlis Apresiasi Rakan Strategik MyFundAction.
Turut hadir semasa majlis tersebut adalah Dr. Mohd Hizul Azri Md Noor, Pengasas dan Penasihat Utama MyFundAction; Muhammad Afiq Mohmad Nazari, Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction; Profesor Madya Dr. Arbaie Sujud, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Saidi Ismail, Ketua Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - KitaReporters/USIM