Kampus & Pendidikan 06 Oct, 2022

Alumni City, Menara Jam Warisan Budi bukti sokongan! Manifestasi hubungan kukuh alumni-UPM! - VC

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this


BERKAT sokongan padu bekas lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada menara gading itu, akhirnya UPM akan memiliki sebuah komplek khas, Alumni City untuk mengeratkan hubungan komuniti alumni senior yang berjaya, sebagai medium atau ikon bagi memastikan jalinan kerjasama tersimpul kejab antara graduan dengan alumni yang lebih muda. 

Projek ini adalah sebagai menyahut titah Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang menyarankan supaya Persatuan Alumni UPM menggerakkan projek sumbangan alumni sebanyak RM10 sebulan dan bergiat lebih aktif bukan sahaja pada peringkat nasional tetapi juga pada peringkat serantau dan antarabangsa selaras dengan moto UPM ‘Berilmu Berbakti’. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti-aktiviti alumni


Dr. Mohd Roslan Sulaiman 


Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata demikian ketika berucap merafak sembah  dan menjunjung kasih kepada baginda sultan pada Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang @ Homecoming ke-11 di UPM pada 1 Oktober, 2022.  

Lebih 800 alumni UPM diraikan dalam acara yang memberi pengiktirafan kepada mereka yang banyak menyumbangkan masa, tenaga mahupun kewangan kepada alma mater dan juga negara.

Beliau berkata, pembinaan kompleks alumni itu seumpama “Loop of Memory” (gelung ingatan) dengan mengimbau kenangan masa silam.

"Ia bakal menjadi satu mercu tanda baharu bagi menyediakan kemudahan yang kondusif bagi menggalakkan alumni 'pulang' ke universiti dan menyumbang semula kepada alma mater dan juga kemudahan ahli-ahli alumni dan mahasiswa masa kini.

"Ia juga akan menjadi mercu tanda baru yang dihasilkan pembinaannya dengan sumbangan alumni yang berdaftar dengan Alumni Information System (AIS) yang kini jumlah keahliannya seramai 136,989, dengan pecahannya 127,120 alumni tempatan dan 9,750 alumni antarabangsa. Manakala taburan alumni di Selangor saja mencecah 26,919. Kita harap lebih ramai lagi akan mendaftarkan diri." katanya.


Sultan Selangor perkenan melihat plan Menara Jam Warisan mercu tanda baharu UPM akan dibina pada tahun 2023.


Sambil mengucapkan tahniah ke atas kejayaan UPM kerana terbukti dengan kejayaan dalam pelbagai pembangunan dan transformasi yang dilalui dalam dan luar negara termasuk penarafan universiti terbaik dunia. 

Antaranya, disenaraikan pada kedudukan 123 terbaik dunia dalam QS World University Ranking 2023, serta dinobatkan sebagai Most Sustainable University di Malaysia apabila diletakkan pada kedudukan terbaik di Malaysia dalam UI Green Metric.

Naib Canselor itu juga mengumumkan sejumlah RM1,459,165.80 juta berjaya dikumpul untuk membiayai pembinaan Menara Jam Warisan Budi UPM yang akan memulakan pembinaan pada Januari 2023. Menara itu akan jadi mercu tanda baharu UPM dan kebanggaan warganya

"Semoga kejayaan merealisasikan hasrat sejak 2006 dan lebih 16 tahun tertangguh akan memperkukuh hubungan UPM dan alumni. Ini menjadi saksi kesepaduan kita mempasak citra UPM secara tulus dan murni terpatri kukuh," katanya. 


Sultan Selangor berkenaan menerima sumbangan daripada alumni-alumni UPM. 


"Ini semua adalah kerana sokongan, kerjasama dan kesepakatan seluruh warga UPM daripada pelajar, staf, Pegawai Akademik, Kumpulan Pengurusan dan Profesional; Kumpulan Pelaksana dan juga alumni. Justeru, peranan dan sumbangan alumni terus ditagih untuk bersama-sama memacu kejayaan Universiti lebih gemilang.

"UPM akan terus menabur bakti dan jasa kepada seluruh warganya dan komuniti. Marilah kita ‘Sederap Melangkah Menuju Al-Falah’ dengan melibatsamakan alumni dalam kelangsungan universiti sebagaimana yang terpatri dan dihasratkan. Semoga segala usaha ini menjadi asbab untuk kita mendapat keredaan dan keberkatan di dunia dan di akhirat." katanya lagi.


Lebih 800 alumni UPM hadir di majlis meraikan sumbangan mereka kepada universiti 


Majlis berkenaan tertunda sejak dua tahun akibat Covid-19 dan pertemuan kali ini adalah untuk meningkatkan dana tabung sumbangan Alumni UPM bagi membantu pelajar dengan pemberian biasiswa, dermasiswa dan bantuan kewangan untuk pelajar dari kalangan B40 dan Pelajar Kurang Upaya (OKU).

Malah katanya, ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan semasa Covid-19 dalam Chapter Student Ambassador sesi 2021/2022, Persatuan Alumni UPM dan Pusat Perhubungan Alumni UPM  diiktiraf dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) dalam kategori penyertaan alumni universiti terbesar membabitkan 6,202 peserta alumni dalam program kecergasan maya iaitu “Program Alumni Golden Fit 2021”. 

"Kejayaan program ini telah membuat kita dapat merealisasikan ‘Pembinaan Arca 50 Tahun UPM’ sumbangan dana daripada alumni dan warga kampus, yang dibina di padang berhadapan Dewan Besar UPM. Arca ini  akan meninggalkan satu kenangan dan memori yang cukup besar kepada kita pada masa mendatang," katanya.


Terima kasih... Lagi sumbangan yang diterima oleh Alumni UPM.


Prof. Dr. Mohd Roslan berkata portal AIS ditubuhkan sebagai sebahagian daripada sokongan era pendigitalan untuk membekalkan pelbagai maklumat terkini mengenai program dan aktiviti yang sedang dan bakal dijalankan dan dengan penubuhan Chapter Alumni Antarabangsa, UPM berharap dapat memperkemaskan jaringan bersama alumni antarabangsa kerana ramai lagi alumni belum berdaftar di portal itu.

"Marilah bersama-sama kita melakukannya bagi memastikan data alumni kita terkini. Kami sentiasa mengalu-alukan alumni yang berhasrat menjalin kerjasama dengan universiti dalam apa-apa jua bidang untuk manfaat bersama seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Tun Arshad Ayub, Tokoh Pendidikan Negara yang berjiwa besar dan banyak baktinya kepada pembangunan UPM selaku alumni UPM," katanya.


Kredit foto-foto: FB Universiti Putra Malaysia 


"Ini dapat kita lihat menerusi pemindahan ilmu daripada kepakaran alumni dalam bidang masing-masing apabila Projek Agro Alumni Industri Mentoring and Coaching Programme (AIMAC), Projek Megachili 2021 dan Rock Melon telah berjaya membawa alumni bidang pertanian yang berjaya di luar sana.

"Ia bertindak selaku mentor kepada pelajar dari 10 kolej kediaman di kampus Serdang dan juga Bintulu. Sumbangan idea, kepakaran dan pemindahan ilmu ini dilihat satu usaha pemindahan ilmu yang berkekalan  untuk  dimanfaat oleh pelajar apabila mereka bergraduat kelak," katanya.

"Akhir kata, sekali lagi setinggi penghargaan dan syabas kepada semua yang terlibat menjayakan Majlis Sirih Pulang ke Gagang@Homecoming ke  2022. Komitmen yang diberikan adalah sangat tinggi sehingga majlis yang merupakan penganjuran kali ke-11 ini terlaksana dengan penuh gilang gemilang. Saya mendoakan semoga komitmen dan usaha semua diberkati Allah Subhanallahu Wata’ala." - KitaReporters.

Baginda Sultan Selangor turut berkenaan merasmikan pelancaran buku The Three Founding Faculities, Spurring The Glories of UPM sempena majlis makan malam ke-XI di UPM, Serdang pada 1 Oktober 2022. - Kredit foto-foto: FB Universiti Putra Malaysia 

13
9
0
19
0
You will be interested