Kampus & Pendidikan 29 Oct, 2024

Terbaiklah UTeM! Anjur Minggu Kebajikan UTeMKu Sayang! Tampil Menjuarai Khidmat Insani 20k pelajar!

@amran mulup
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang kini bermastautin di Melaka. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this


Hampir 20,000 orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menikmati manfaat hasil daripada pengisian kebajikan tinggi menerusi Minggu Kebajikan UTeMKu Sayang Menjuarai Khidmat Insani yang diadakan di kampus induk di Durian Tunggal, Melaka dari 17 hingga 25 Oktober 2024.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, program itu menzahirkan komitmen UTeM dalam aspek keutamaan menjaga kebajikan kepada seluruh warga pelajar yang berjumlah hampir 20,000 orang.

Menurutnya, inisiatif yang disediakan dalam minggu kebajikan ini memastikan kesejahteraan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan, selain tanda solidariti dan sokongan penuh universiti terutama kepada mahasiswa yang sedang menghadapi kesulitan dan kesusahan.

Ujarnya, UTeM terus komited dan cuba sedaya upaya yang mungkin mewujudkan persekitaran pengajian yang kondusif agar seluruh mahasiswa sentiasa menikmati keselesaan sepanjang pengajian mereka di UTeM.

"Sebanyak 14 inisiatif pengisian telah disusun dan dijayakan secara efektif agar ia dapat dinikmati sepenuhnya oleh seluruh warga pelajar di sini dan kami harapkan pakej inisiatif dapat membantu mereka," ujarnya.


Program Jualan Madani diadakan sempena Program Minggu Kebajikan UTeMKu Sayang: Menjuarai Khidmat Insani di Kampus induk Durian Tunggal, Melaka.


Sementara itu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, pengisian itu antaranya adalah pemberian zakat sebanyak RM10,000 yang disumbangkan pihak Bank Muamalat Malaysia dan penyerahan komputer riba kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

"Setiap pelajar UTeM menikmati tawaran 50 peratus potongan harga makanan di sembilan buah kafeteria UTeM bermula jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang sejak 18 Oktober 2024 lalu di samping baucar makanan bernilai RM10 turut diberikan kepada mahasiswa terpilih manakala serahan bantuan Bank Makanan secara berjadual turut diagihkan buat pelajar di kolej kediaman dalam dan luar kampus.

"Pada masa yang sama seluruh pelajar menikmati Jualan Murah Siswa Madani dengan diskaun sebanyak 50 peratus bagi barangan runcit keperluan harian seperti makanan dan minuman, pakaian, barangan mandian dan sebagainya dengan kerjasama bersama Mydin Malaysia dan Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) yang  menyumbang sebanyak RM50,000.

"Di samping itu, pihak He & She Coffee turut memberikan kupon percuma sebanyak 1,000 kupon yang bernilai RM5 setiap satu dengan tajaan keseluruhan sebanyak RM5,000," ujarnya.

Jelasnya, antara lain turut diadakan Program Cuci Kereta oleh mahasiswa dengan kadar cucian serendah RM5, pembukaan Car Boots Sales dengan jualan-jualan barangan yang menarik dan program derma pakaian untuk diserahkan kepada mahasiswa yang memerlukan.

Katanya, pihak penganjur melalui kerjasama dengan Penerbit Universiti dan Yayasan Tun Canselor telah bersetuju untuk menyediakan 200 baucar buku sebanyak RM100 kepada 200 mahasiswa terpilih dan diskaun pembelian buku sebanyak 20 peratus turut disediakan oleh pihak penerbit bagi membantu mahasiswa.


Pelajar menikmati potongan 50 peratus harga makanan di sembilan buah kafeteria UTeM sempena Program Minggu Kebajikan UTeMKu Sayang: Menjuarai Khidmat Insani di Kampus induk Durian Tunggal, Melaka.


Sabri berkata, Program e-Usahawan International Conference 2024: Shaping Tomorrow’s Success diadakan bertujuan melatih usahawan digital dalam kalangan mahasiswa turut diadakan dengan kerjasama dan sumbangan oleh pihak MDEC sebanyak RM40,000.

Selain sumbangan Bank Rakyat melalui Program Bank Rakyat UNIpreneur sebanyak RM40,000 iaitu insentif kepada setiap usahawan-usahawan asnaf daripada 20 mahasiswa terpilih bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihak HEPA akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan, selari dengan semangat minggu kebajikan ini.

"Diharapkan bantuan-bantuan kebajikan yang disediakan kepada mahasiswa akan memberi sedikit kelegaan dan membantu mahasiswa meneruskan kehidupan di kampus dengan lebih baik, tenang dan sejahtera," ujarnya lagi.

Program Minggu Kebajikan UTeMKu Sayang Menjuarai Khidmat Insani ini merupakan anjuran Jawatankuasa Sementara Majlis Perwakilan Pelajar dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) yang dilaksanakan selama seminggu mulai 17 hingga 25 Oktober 2024 lalu.

Program ini telah dirasmikan pada 23 Oktober 2024 oleh Prof Ir. Ts. Dr. Ghazali Omar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM yang mewakili Naib Canselor UTeM. - KitaReporters


Pelajar menerima sumbangan zakat asnaf pada Program Minggu Kebajikan UTeMKu Sayang Menjuarai Khidmat Insani  pada 23 Oktober 2024. 

 

8
10
0
6
0
You will be interested